Kolum Malaysia

Malaysia, apa selepas ini?

Bolasepak itu memang kejam.

Satu kesilapan, satu detik, satu jaringan sudah cukup untuk memusnahkan impian, cita-cita dan harapan seluruh pasukan.

Skuad bawah 23 tahun negara sudah menunjukkan bahawa Malaysia bukan lagi satu pasukan yang boleh dipandang rendah. Kita sudah mula mampu menyaingi pasukan-pasukan gergasi di Asia. Pertahanan yang kental dan barisan serangan yang berbisa digunakan sebaiknya. Mungkin kita cuma kekurangan pemain barisan tengah yang mampu mendominasi perlawanan dan seorang penyerang yang dapat menyaingi kehebatan Allahyarham Mokhtar Dahari atau sekurang-kurangnya Safee Sali di zaman kemuncaknya.

Jadi, apa seterusnya untuk Malaysia?
Satu perkara yang perlu dititikberatkan adalah kejayaan seperti ini perlu dijadikan satu perkara biasa untuk Malaysia dan bukan satu perkara yang hanya berlaku sekali-sekala. Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian setakat ini sahaja.

Melihat kepada Jepun yang menghantar skuad bawah 21 tahun mereka ke kejohanan yang disertai pemain lebih dari usia mereka perlu kita jadikan teladan. Kita perlu mempersiap skuad-skuad muda kita dari sekarang.

Jika Jepun sudah mempersiap skuad mereka untuk Sukan Olimpik bermula sekarang, kita juga perlu berbuat demikian. Dengan Kelayakan Olimpik akan bermula tidak lama lagi, kita juga perlu bersedia.

Kementerian Belia dan Sukan, FAM, pasukan-pasukan negeri dan NFDP perlu bersatu tenaga untuk membantu mengembangkan bolasepak dengan lebih meluas dan intensif. Kita perlu lebih ramai pemain dan kita perlu mencari bakat-bakat yang tersorok di seluruh pelusuk negara.

Untuk pemain-pemain yang ada dalam skuad bawah 23 tahun negara ini pula, mereka perlukan lebih banyak pendedahan di luar negara. Mereka perlu dibantu untuk beraksi bersama kelab di luar negara. Mereka juga perlu mula menjadi lebih professional jika mahu mempertingkat prestasi mereka. Tiada lagi lepak mamak dan makan nasi lemak selepas perlawanan. Mereka perlu diajar hidup sebagai pemain professional jika mereka mahu berjaya. Jika tidak, susah untuk mereka meningkatkan prestasi.

Bagaimana pula dengan penyokong? Pertama, kita juga perlu mengubah mentaliti menyokong bila menang, mengeji bila kalah. Selepas kesilapan yang dilakukan oleh Dominic Tan, laman sosial pemain muda negara itu dihujani kejian dan cacian yang mempersalahkannya. Grow up guys. Ya, kritikan itu sebahagian daripada tugas mereka, tetapi kita juga boleh mengubah perkara itu. Bukan minta dipuji setiap masa, tetapi bagi pemain muda seperti itu, berikanlah kata-kata semangat. Jika kita yang menonton merasa sedih, pastilah dia merasa lebih perit dari kita.

Kedua, berhentilah dengan pemikiran ‘mengalah sebelum bola disepak kita’. Ya, bolasepak kita memang sudah lama merudum, tetapi kini kita mula bangkit perlahan-lahan. Pingat perak Sukan SEA, mara ke Suku Akhir Piala AFC bawah 20 tahun, Juara Piala AFF Bawah 19 tahun, tempat ketiga Piala AFF Bawah 16 tahun dan menumbangkan juara bertahan Sukan Asia. Semuanya berlaku dalam tempoh masa setahun. Apa itu tidak cukup untuk meyakinkan kalian?

Kita semua dibenarkan untuk merasa sedih dengan kekalahan semalam. Tapi ingatlah, apa yang penting adalah bagaimana kita bangkit semula selepas ini. Adakah kita akan kekal bersedih dan kekal seperti biasa atau kita mahu jadikan kegagalan ini sebagai pembakar semangat? Semuanya terpulang kepada kita. Tak kiralah kepada pemain, pihak pengurusan mahupun penyokong. Apa yang perlu kita pegang sampai bila-bila, Selamanya Harimau Malaya.