Johor Darul Ta’zim menerima kunjungan Kelantan di Stadium Tan Sri Hasson Yunos, Larkin pada malam tadi bagi saingan keempat Kumpulan C. Walaupun berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 namun Harimau Selatan terpaksa bermandi peluh sebelum Fernando Marquez menjaringkan gol tunggal pada minit ke-65.
Benjamin Mora yang ditemui selepas perlawanan mengatakan bahawa amat sukar untuk bermain menentang Kelantan. Ini berikutan pemain The Red Warrior sering bergerak dan melakukan ‘man-marking’ ke atas pemain JDT seterusnya menyukarkan mereka melancarkan serangan dengan tersusun.
“Pemain lawan sentiasa bergerak dan mengekori pemain kami dan kerap memberi tekanan sehingga menyukarkan kami untuk melancarkan serangan yang lebih tersusun malah mereka bertungkus lumus menghalang percubaan kami.”
Beliau juga menambah bahawa JDT mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol menerusi Fernando Elizari, Fernando Marquez dan Corbin-Ong namun nasib tidak menyebelahi mereka.
“Kami mengawal permainan dan memiliki beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol apabila Fernando Elizari hampir mencipta gol selain Fernando Marquez ada dua peluang lain malah Corbin Ong turut berpeluang tetapi nasib tidak menyebelahi kami.”
“Anda sendiri lihat pemain Kelantan hanya bertahan dan kami perlu melepasi dua lapisan iaitu tengah dan pertahanan. Situasi itu jelas menyukarkan kami dan terpaksa tunggu sehingga minit ke-65 untuk menjaringkan gol,” katanya lagi.
Kemenangan mereka ke atas Kelantan ini bukan sahaja mencerahkan peluang buat skuad Harimau Selatan mara ke peringkat suku akhir malah membuka kembali saingan Kumpulan C untuk merebut slot 2 tangga teratas kumpulan.