Liga Super Malaysia Berita

Cari jalan untuk bangkitkan semula keghairahan penyokong ke stadium

Saingan liga tempatan termasuk aksi Piala Malaysia musim ini boleh dilabelkan sebagai musim bolasepak yang paling suram sejak Liga Super Malaysia diperkenalkan pada tahun 2004.

Rekod kehadiran penyokong di setiap venue perlawanan jelas mengecewakan apabila mencatatkan jualan tiket yang cukup rendah jika dibandingkan dengan tempoh lima atau 10 tahun kebelakangan ini.

Bekas jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, beliau sendiri terkejut apabila melihat bilangan kehadiran penonton ketika berada di Stadium Darul Aman, Alor Star baru-baru ini.

“Saya pergi menyaksikan perlawanan Kedah lawan Terengganu (Liga Super) baru-baru ini. Hanya 1,100 orang sahaja penyokong dan ini boleh dianggap sebagai sangat mengecewakan.

“Malah, aksi Kedah dan Kelantan (Piala Malaysia) pun hanya 4,000. Apa sudah jadi dengan liga kita sebenarnya?” katanya kepada Berita Harian.

Berdasarkan statistik jumlah kehadiran penyokong sejak kempen Piala Malaysia bermula minggu lalu, kehadiran penonton di stadium cukup mengecewakan apabila enam daripada lapan stadium yang terlibat dalam perlawanan pembukaan hanya dihadiri kurang daripada 3,000 penonton.

Mengulas lanjut, Azraai menyifatkan jika tiada sebarang tindakan dilakukan, ia boleh mengancam beberapa pasukan yang tidak mempunyai dana besar sekali gus memberi kesan negatif kepada pembangunan bola sepak negara.

“Piala Malaysia lain daripada Liga Super ataupun Piala FA. Trofi itu memiliki aura dan tradisi panjang yang perlu dipertahankan.

“Bagi saya, MFL dan persatuan negeri serta kelab perlu duduk semeja dan memikirkan kaedah terbaik bagi menarik atau mencetuskan semula keghairahan penyokong untuk datang ke stadium.

“Memang kalau diikutkan ia adalah tanggungjawab persatuan negeri dan kelab untuk menggerakkan apa juga bentuk promosi dan pemasaran tetapi ia juga perlu mendapat kerjasama pentadbir liga iaitu MFL.

“Saya percaya jika semuanya bekerjasama dan senada dalam mengejar misi dan visi, kita boleh meraih keuntungan besar daripada industri bola sepak seperti mana yang dilakukan di liga Eropah,” katanya.