Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Zulakbal Abd. Karim menyifatkan tindakan FAM yang cuba mengambil jalan pintas memilih pemain naturalisasi sedikit sebanyak membuktikan kegagalan badan induk itu dalam merangka program pembangunan di peringkat akar umbi.
“Pada saat FAM mahu menggunakan pemain naturalisasi, itu sebenarnya sudah menunjukkan bahawa pelbagai program pembangunan yang sudah dilaksanakan selama berpuluh tahun ini tidak menunjukkan hasil memberangsangkan.
“Kegagalan program pembangunan inilah yang menjadi punca kita ketandusan pemain yang benar-benar berbakat dan mampu bersaing sehingga memaksa kita menggunakan pemain naturalisasi.
“Jadi, sebelum cadangan ini benar-benar akan dilaksanakan, saya harap kajian lebih mendalam dapat dilakukan dan FAM perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak lain kerana cadangan ini akan membawa perubahan besar terhadap landskap bola sepak negara,” katanya kepada Berita Harian.
Mengulas lanjut, Zulakbal yang juga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) turut mempersoalkan kualiti pemain import yang mahu beraksi di negara ini sama ada mampu membantu meningkatkan kualiti bola sepak skuad kebangsaan ataupun sebaliknya.
“Jika berdasarkan ranking negara, sukar untuk mendapatkan pemain yang bagus dan pemain yang rela beraksi bersama skuad kebangsaan.
“Kalau ada sekalipun, mungkin mereka tidaklah sebagus yang diharapkan dan apa yang membimbangkan adalah sekiranya kualiti mereka hanya setaraf dengan pemain tempatan,” katanya.