VfL Wolfsburg muncul kelab Bundesliga pertama bertapak secara rasmi dengan pembukaan pejabat di Malaysia.
Ini kali kedua kelab dari Jerman itu membuka pejabat di Asia selepas Beijing, China pada 2017.
Dengan kolaborasi rasmi, pejabat Wolfsburg akan bertempat di Menara Matrade, Kuala Lumpur bagi mempromosikan program teknikal dan perniagaan ke perniagaan (B2b) berkaitan bola sepak di rantau ini.
“Malaysia adalah sebuah negara yang berpengaruh dan mempunyai hubungan kukuh dengan Jerman, yang memudahkan kami sebagai sebuah kelab bola sepak Jerman, kata CEO VfL Wolfsburg Michael Meeske.
“Oleh itu, kami memutuskan untuk membuka pejabat di sini, Malaysia kerana ia merupakan titik akses yang baik di rantau ini.”
Katanya lagi, Wolfsburg juga merancang untuk ke Malaysia tahun depan bagi mengeratkan hubungan dengan komuniti bola sepak Malaysia.
“Kami sedang merancang untuk datang bersama pasukan ke Malaysia, mungkin tahun depan dan ia sepatutnya menjadi peluang yang baik untuk bekerjasama dengan kelab bola sepak lain kerana itu misi kami dalam dunia bola sepak.”
Tahun lalu, Wolfsburg menjalin kerjasama rasmi dengan Perak dalam membangunkan bakat muda yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) sehingga Disember 2023.
Menerusi kerjasama itu, kedua-dua kelab bersetuju membangunkan kelab termasuk menghantar jurulatih dan pemain ketika pramusim selain menyokong kem latihan.
Malaysia juga jadi negara Asia Tenggara ketiga membuka pejabat kelab Bundesliga selepas Borussia Dortmund di Singapura pada 2014 dan Bayern Munich di Bangkok, Thailand pada tahun lalu.