Malaysia Berita

Masih gagal jaringkan gol di Liga Thai, Shahrel Fikri tidak berputus asa

Empat perlawanan tanpa sebarang gol sejak beraksi bersama Nakhon Ratchasima dalam Liga Divisyen Satu Thailand tidaklah terlalu menggusarkan Shahrel Fikri sebenarnya.

Malah, pemain pinjaman PKNP itu yakin telah memainkan peranan dalam dua kemenangan dan dua keputusan seri yang dicapai pasukannya setakat ini.

Bagaimanapun, Shahrel yang dipinjamkan selama lima bulan itu berkata, beliau masih dalam peringkat mencari keserasian bersama rakan sepasukan serta corak bola sepak negara berkenaan yang sedikit berbeza dengan Malaysia.

“Secara keseluruhan saya belum berpuas hati dengan prestasi sendiri. Saya yakin mampu lakukan lebih baik daripada ini. Namun, situasi ini tidak merisaukan saya kerana ini baru permulaan karier saya di sini.

“Buat masa ini, saya masih dalam peringkat menyesuaikan diri dengan pasukan serta corak permainan liga Thailand. Liga di sini agak berbeza dengan liga kita, mereka mengamalkan corak permainan yang pantas.

“Tetapi saya gembira, pengurusan, jurulatih, rakan sepasukan dan penyokong banyak memberi sokongan menyebabkan saya berasa selesa bersama kelab ini,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam empat perlawanan tersebut, Nakhon Ratchasima mengalahkan Ratchaburi FC 2-1 dan Chainat Hornbill 1-0 serta seri 1-1 dengan Sukhothai dan pasukan Muangthong United 0-0 untuk meletak kelab yang berpangkalan di Korat itu di tangga ketujuh daripada 18 pasukan.

Tambah Shahrel, beliau akan memanfaatkan tempoh lima bulan bersama Nakhon Ratchasima di Thailand.

“Walaupun status saya hanya pemain pinjaman namun inilah peluang terbaik untuk saya membuktikan kemampuan. Saya anggap ini adalah permulaan untuk saya melangkah lebih jauh.

“Kalau boleh, saya mahu kekal bermain dalam liga Thailand selepas tempoh pinjaman berakhir. Saya yakin PKNP tidak mempunyai masalah kerana mereka sangat memahami,” katanya.