Liga Super Malaysia Berita

Kelantan masih dihimpit dengan hutang lama

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) masih terhimpit dengan bebanan hutang lama dan meskipun baru sahaja tersingkir ke Liga Perdana, hutang lama tersebut boleh menyebabkan pasukan Kelantan turun ke Liga FAM jika tunggakan itu tidak diselesaikan pada musim ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya ketika ini sedang berdepan dengan tiga kes pembayaran hutang yang dituntut oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bernilai berjuta-juta ringgit.

Oleh sebab itu, pihaknya sedang berusaha untuk menyelesaikan pembayaran hutang tersebut mengikut tarikh yang ditetapkan bagi mengelakkan daripada dikenakan hukuman lebih berat.

“Jika kami kekal di Liga Super sekalipun, jika tidak bayar hutang lama yang diarahkan FAM, kami tetap akan dipotong mata atau dikenakan hukuman turun ke liga bawahan.

“KAFA masih mempunyai tiga kes hutang yang dituntut bekas pemain dan kejurulatihan melalui FIFA yang perlu diselesaikan selewat-lewatnya akhir bulan depan.

“Memang dari segi mata kasar kami bakal diturunkan ke Liga Perdana musim depan namun jika beberapa perkara belum diselesaikan tidak mustahil pasukan akan turun ke Liga FAM,” katanya kepada Berita Harian.

Kelantan ketika ini sedang berusaha untuk menyelesaikan hutang membabitkan dua bekas pemain import iaitu Jonathan Lucca dan Dramane Traore serta bekas jurulatih kecergasan, Sebastian Knapic.

Pada masa yang sama, Bibi juga berharap penyokong Kelantan dapat menerima hakikat mengenai kedudukan pasukan ketika ini dan tidak menyalahkan keputusan yang dibuat oleh Kafa.