Luar Negara Piala Dunia 2018

Kalau Croatia menang, saya akan cacah tatu di dahi!-Ivan Rakitic

Pada kebiasaannya, mana-mana pasukan yang berada dalam perlawanan akhir lagi-lagi di Piala Dunia tidak akan membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan semangat pasukan.

Namun, Ivan Rakitic dilihat tidak terlalu bimbang malah sempat berjenaka yang beliau akan mencacah tatu di dahinya jika Croatia menjadi juara Piala Dunia.

Rakitic sememangnya dikenali sebagai penggemar tatu dan beliau tersenyum ketika ditanya sama ada beliau ada merancang untuk menambah tatu jika Croatia menewaskan Perancis.

“Di dahi saya!

“Ada banyak ruang di sana, seperti yang kamu dapat lihat! Tetapi saya perlu bertanya kepada isteri saya terlebih dahulu,” katanya.

Pada masa yang sama, Rakitic berasa cukup terharu apabila jutaan peminat bola sepak mengharapkan kemenangan berpihak kepada Croatia meskipun bukan pasukan pilihan.

“Sejujurnya, saya dapat merasakan ratusan juta orang di dunia meletakkan harapan kepada kami. Saya mendapat mesej dari Argentina, Jerman, Sepanyol, keempat-empat sudut dunia. Ia menakjubkan.

“Apa yang membuatkan saya gembira ialah apabila mereka tidak dapat membayangkan akan meraikan gol selain yang dijaringkan oleh pasukan kebangsaan mereka sendiri.

“Ia menunjukkan yang kami layak menjadi finalis, kami mahu menunjukkan kepada dunia yang kami bermain sebagai satu unit dan akan memberikan segala-galanya di atas padang,” katanya.

Ada yang berpendapat Croatia masih berada dalam keadaan kepenatan jika dibandingkan dengan Perancis, tetapi Rakitic menepis dakwaan tersebut dan menganggap perlawanan akhir Piala Dunia adalah perlawanan yang istimewa.

“Akan ada tenaga tambahan, jangan bimbang. Ini adalah perlawanan yang bersejarah, bukan sahaja untuk kami tetapi untuk semua rakyat Croatia,” katanya. – Agensi