Kajian & Analisis Malaysia

Analisis: Malaysia tewaskan Fiji, wajarkah Tan Cheng Hoe menggunakan formasi 3-5-2?

Skuad Harimau Malaya berjaya meraih kemenangan kedua berturut-turut apabila menewaskan Fiji 1-0 di Stadium KLFA, Cheras malam tadi. Jaringan tunggal Syafiq Ahmad pada babak pertama membantu anak buah Tan Cheng Hoe mengutip kemenangan berharga yang sudah tentu akan meningkatkan tahap keyakinan pemain, menjelang Piala AFF Suzuki pada hujung tahun ini.

Perlawanan persahabatan seterusnya akan berlangsung pada bulan September, apabila Malaysia berkunjung ke Taiwan untuk menentang skuad kebangsaan negara tersebut pada 7 hari bulan, sebelum pulang berentap Cambodia di halaman sendiri, tiga hari kemudian.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan tadi:

PRESTASI AKRAM MAHINAN WAJAR DIBERI PUJIAN

Jika Akram Mahinan tampil sebagai antara pemain terbaik Malaysia apabila Malaysia turun menentang Bhutan dan Lebanon beberapa minggu lepas, malam ini, beliau sekali lagi menunjukkan kemampuan di atas padang. Digandingkan dengan Nazmi, Akram cukup gagah dalam mengawal tempo perlawanan di bahagian tengah, dan sering melakukan 'interception' yang mematahkan serangan-serangan skuad Fiji. Posisi 'defensive midfielder' merupakan sebuah posisi yang cukup penting, dan jika Akram mampu terus mengekalkan tahap konsistensi ini, beliau mampu menjadi antara pemain paling penting Malaysia di pentas Piala AFF Suzuki pada hujung tahun ini.

PERTAHANAN MALAYSIA MASIH NAMPAK GOYAH

Biarpun tidak membolos sebarang gol malam ini, pertahanan skuad Harimau Malaya masih nampak sedikit goyah, terutamanya pada babak pertama. Gandingan Shahrul Saad dan Adam Nor Azlin berjaya mengekang barisan serangan Fiji, namun pada babak pertama, terdapat beberapa insiden di mana mereka gagal membaca pergerakan pemain Fiji dan hampir membolos gol. Sebagai contoh, kesilapan Shahrul Saad pada minit ke-9 hampir mengundang padah, tetapi percubaan penyerang Fiji akhirnya terkena tiang.

SKUAD HARIMAU MALAYA BIJAK MENGATASI KELEMAHAN FIZIKAL

Hakikatnya adalah, skuad Fiji ini mempunyai kekuatan fizikal yang susah untuk ditandingi di atas padang. Pada awal perlawanan, anak buah Tan Cheng Hoe mengalami sedikit kesusahan dalam menangani corak permainan Fiji yang cukup fizikal, namun selepas 15-20 minit, Malaysia mula menggunakan kepantasan mereka di bahagian sayap untuk melepasi pemain Fiji, tanpa perlu mencabar kekuatan fizikal mereka di udara. Situasi ini membantu Malaysia menjaringkan satu gol, selain turut melancarkan beberapa serangan bahaya melalui Safawi Rasid.

NAZMI FAIZ MAMPU MENJADI TUNJANG UTAMA MALAYSIA

Sekali lagi, Nazmi mempamerkan aksi yang cukup bertenaga sebagai 'playmaker' Malaysia hari ini. Beliau sentiasa cuba melakukan hantaran-hantaran yang kreatif, dan rajin dalam menbuka ruang untuk rakan sepasukannya. Dengan prestasi Safiq Rahim yang semakin tidak konsisten, kebangkitan Nazmi Faiz adalah sebuah perkara yang cukup penting buat Harimau Malaya. Malaysia jelas memerlukan seorang playmaker untuk melancarkan serangan dari bahagian tengah, dan Nazmi Faiz mempunyai kebolehan untuk berfungsi dengan efektif dalam posisi tersebut. Tetapi mampukah Nazmi Faiz mengekalkan konsistensi ini?

WAJARKAH MALAYSIA MENGGUNAKAN FORMASI 3-5-2?

Antara faktor yang membantu skuad B-23 Malaysia mencipta sejarah di China pada bulan Januari lepas adalah formasi 3-5-2 yang digunakan oleh Datuk Ong Kim Swee. Formasi tersebut membolehkan Syazwan Andik bermain di posisi yang lebih menyerang, sekaligus memastikan beliau dapat banyak melancarkan serangan balas dengan efektif. Formasi tersebut juga membantu dari segi stabiliti di bahagian pertahanan, dan memberi lebih kebebasan kepada dua penyerang Malaysia di bahagian hadapan. Setakat ini, Tan Cheng Hoe lebih suka menggunakan formasi 4-2-3-1, tetapi wajarkah beliau mencuba formasi 3-5-2 dalam perlawanan akan datang?