Luar Negara Piala Dunia 2018

50 peratus gol dijaringkan di saat-saat akhir

Sebanyak 50 peratus gol kemenangan atau penyamaan dijaringkan pada minit-minit terakhir yang menjadikan perlawanan lebih menarik pada edisi Piala Dunia kali ini.

Gol di hujung permainan seperti yang dilakukan Marcos Rojo pada aksi menentang Nigeria sekali gus mengesahkan Argentina ke pusingan kedua, adalah lebih banyak berbanding di dua edisi Piala Dunia sebelum ini.

Gol-gol dramatik itu jugalah yang menyaksikan bagaimana juara bertahan, Jerman tersingkir awal.

Selepas berakhir perlawanan peringkat kumpulan, 26 gol dijaringkan pada minit ke-80 ke atas yang mana 13 atau 50 peratus daripadanya adalah gol kemenangan atau penyamaan, menurut satu analisis yang disediakan oleh firma data sukan, Opta.

Jumlah itu tidak termasuk gol lewat permainan yang hanya menambahkan drama tetapi tidak mengubah situasi seperti gol kedua Brazil pada masa kecederaan ketika bertemu Costa Rica serta gol kedua Korea Selatan ketika menewaskan Jerman.

Secara perbandingan, ketika Piala Dunia 2014 di Brazil, 26 gol turut dijaringkan selepas minit ke-80 tetapi hanya lapan atau 31 peratus sahaja yang mengubah nasib pasukan yang bertanding.

Pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan pula, lima daripada 20 gol lewat permainan atau 25 peratus, menentukan kelayakan di peringkat kumpulan.

“Terlalu banyak gol saat akhir dijaringkan dan anda juga memerlukan sedikit tuah,” kata Marco Reus.

Ketika Jerman disingkirkan Korea Selatan menerusi gol saat akhir beberapa hari lalu, gol lewat permainan dilihat cukup penting di Rusia.

Harry Kane menjaringkan gol pada masa kecederaan ketika England mencatat kemenangan 2-1 ke atas Tunisia pada perlawanan pertama sementara Uruguay turut menjaringkan gol saat akhir menerusi Jose Gimenez ketika menewaskan Mesir.

Pasukan bukan pilihan juga bernasib baik memperoleh gol di minit akhir.

Antaranya adalah Iran yang menjaringkan gol menerusi sepakan penalti minit ke-93 menentang Portugal yang menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 sementara Maghribi mengatasi Sepanyol pada minit ke-81 sebelum lawan mereka itu menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.-Reuters