Luar Negara Piala Dunia 2018

Marcelo cedera disebabkan tilam bukan padang, kata doktor

Doktor bagi pasukan Brazil, Dr. Rodrigo Lasmar mendedahkan Marcelo mengalami kecederaan di bahagian belakang badannya bukanlah disebabkan terjatuh di atas padang tetapi berkemungkinan disebabkan tilam katil yang digunakan di hotel penginapannya.

Kecederaan belakang memaksa Marcelo digantikan dalam kemenangan 2-0 ke atas Serbia.

Pertahanan Real Madrid itu digantikan selepas permainan baru memasuki minit ke-10 dan analisis awal mengatakan beliau mengalami masalah belakang.

Kata Dr. Lasmar, beliau optimis mengenai peluang pemain berusia 30 tahun tersebut untuk pulih menjelang pertemuan dengan Mexico dalam pusingan 16 terakhir, Isnin depan dan mengakui beliau perlu mengkaji corak tidur Marcelo terlebih dahulu.

“Masih terlalu awal untuk membuat diagnosis yang tepat,” kata Dr Lasmar.

“Kecederaan itu mungkin berkaitan dengan tilam hotel.

“Walaupun ramalan kami mengenai situasi Marcelo menjurus kepada berita baik, kami perlu tenang dan menunggu beberapa hari lagi.”

Marcelo terlepas aksi bersama Real Madrid akibat kecederaan hamstring pada Februari lalu setelah bebas kecederaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dr. Lasmar berkata selagi kecederaan serius tidak muncul, beliau akan terus merawat kecederaan Marcelo dan mempersiapkannya untuk perlawanan menentang Mexico.

“Marcelo sedang dirawat dan ubat yang diambilnya bertindak balas dengan baik dan beliau boleh bermain,” katanya.

“Yang penting tiada kecederaan berlaku.

“Beliau mengalami radang otot. Apabila beliau berasa baik untuk berlatih, beliau akan kembali dan boleh beraksi dengan serta merta.

“Tiada tempoh pemulihan ditetapkan,” katanya.