Luar Negara Piala Dunia 2018

England menang saat akhir, ini reaksi Gareth Southgate

Jurulatih England, Gareth Southgate tetap gembira dengan persembahan para pemainnya meskipun hanya memperoleh kemenangan pada masa kecederaan hasil jaringan Harry Kane untuk menewaskan Tunisa 2-1 pada perlawanan pembukaan Kumpulan G, awal pagi tadi.

“Kami bangkit daripada keputusan penalti yang begitu sukar untuk diterima dan ini menggembirakan saya.

“Biarpun kesuntukan masa, para pemain tetap bersabar. Pasukan yang bagus mampu menjaringkan gol di saat-saat akhir, jika pasukan terus menguasai bola, pihak lawan akan keletihan.

“Kami mencipta banyak peluang yang jelas, terutamanya pada babak pertama dan berada dalam kawalan sepenuhnya pada babak kedua.

“Kami tetap bersabar, dan tidak hanya membuang bola ke dalam kotak.

“Kami berhak menang, kami adalah pasukan yang lebih baik, kalau seri sekalipun, saya tetap akan berbangga dengan prestasi mereka,” katanya.

Jaringan kedua Kane menerusi tandukan itu menyelamatkan England selepas peluang mereka untuk mengutip tiga mata penuh seakan hampir musnah apabila kedua-dua pasukan buntu untuk menjaringkan gol kemenangan.

Kane menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada minit ke-11 sebelum Ferjani Sassi menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-35 selepas Kyle Walker didapati mengasari Fakhreddine Ben Youssef.

Ini adalah kali pertama England menjaringkan dua gol dalam perlawanan Piala Dunia sejak seri 2-2 menentang Sweden pada tahun 2006 malah dua gol yang dijaringkan Kane adalah gol pertamanya di kejohanan peringkat antarabangsa. – AFP