Luar Negara Piala Dunia 2018

Tewas kepada Sweden, Son kecewa dengan diri sendiri

Penyerang Korea Selatan, Son Heung-min hanya mahu menyalahkan dirinya sendiri di atas kekalahan 0-1 pasukannya kepada Sweden dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F, semalam.

Katanya, beliau tidak berusaha sebaik mungkin bagi membantu rakan sepasukannya untuk cuba mencipta lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Bebanan itu mungkin dirasakan memandangkan Son merupakan satu-satunya pemain berkelas dunia buat pasukan Korea Selatan dan beliau berasa bertanggungjawab dengan statusnya yang datang dari Liga Perdana Inggeris.

“Saya sangat kecewa dengan persembahan saya. Saya rasakan saya sepatutnya membuat sesuatu buat pasukan tetapi saya tidak bermain dengan baik.

“Ia tidak menjadi seperti yang dirancang dan saya tidak bermain dengan baik,” kata penyerang Tottenham Hotspur itu.

Son memulakan perlawanan di bahagian kanan jentera serangan tetapi beliau dilihat kurang menyerlah apabila pasukannya langsung tidak dapat melancarkan serangan yang efektif ke atas bahagian pertahanan Sweden.

“Penyerang sepatut mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Apabila kami mendapat bola, kami masih terlalu jauh untuk pergi ke depan,” katanya.

Kegagalan untuk menewaskan Sweden seolah-olah merupakan satu pengakhiran yang menyedihkan buat Korea Selatan dalam kempen Piala Dunia kali ini.

Jerman sudah tentu berkobar-kobar mahu bangkit semula daripada kekalahan memalukan menentang Mexico tempoh hari, malah Mexico dilihat sebagai pasukan yang terlalu kuat untuk Korea Selatan tangani ketika ini. – Reuters