Walaupun bergelar Piala Dunia, saingan bola sepak seluruh dunia ini masih didominasi oleh pasukan-pasukan dari Eropah dan Amerika Selatan, khususnya dalam gelaran juara. Dalam 21 edisi kejohanan, hanya negara dari benua tersebut yang memperoleh status juara.
Sementara bagi wakil benua lain seperti Afrika, Amerika Utara, Asia dan Oceania, mereka tidak lebih daripada sekadar pelengkap kejohanan. Pencapaian terbaik yang pernah diraih oleh wakil-wakil daripada empat benua itu adalah tempat ketiga dalam aksi Piala Dunia 1930 yang dimenangi Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, kekuatan dan kemampuan pasukan dari Afrika, Asia, Amerika Utara dan Oceania tidak boleh diragui apabila berkesempatan beraksi di Piala Dunia.
Terutamanya pasukan dari Afrika, kehadiran mereka dalam setiap edisi Piala Dunia sering menghadirkan beberapa kejutan. Semestinya peminat bola sepak masih tidak lupa akan bagaimana Cameroon menarik perhatian dalam Piala Dunia 1990. Situasi sama turut diulangi oleh Senegal 12 tahun kemudian, sebelum Ghana mengikut langkah dalam edisi 2010. Kebetulan, kesemua negara ini melayakkan diri sehingga ke suku akhir.
Namun, sebenarnya wakil Afrika telah mencatatkan satu tahap konsisten yang menarik tanpa disedari sejak Piala Dunia 1986. Melihat kepada statistic, sekurang-kurangnya akan ada satu wakil dari benua itu yang melepasi peringkat kumpulan.
Bahkan ketika Piala Dunia 2014, buat kali pertama dua wakil dari Afrika, Algeria dan Nigeria, melepasi peringkat awal sebelum terkandas di pusingan kedua.
Dalam lima edisi terakhir Piala Dunia, Afrika telah menghantar lima wakil dan kali ini, mereka diwakili oleh Maghribi, Mesir, Nigeria, Senegal dan Tunisia.
Berdasarkan aksi kelayakan dan kualiti, negara-negara tersebut jelas memiliki kemampuan untuk berentap dengan wakil daripada benua lain. Lebih-lebih lagi, setiap daripada mereka memiliki seorang pemain yang benar-benar mampu mengubah keputusan sesuatu perlawanan tanpa diduga.
Mesir bertumpu kepada Mohamed Salah, Maghribi akan dipimpin Medhi Benatia, Nigeria meneruskan cabaran bersama Alex Iwobi, Senegal mengharapkan Sadio Mane dan Tunisia dikepalai oleh Wahbi Khazri.
Namun, melihat undian kumpulan yang sudah dilakukan, wakil Afrika berada dalam situasi yang agak tersepit. Hasilnya, ia mewujudkan satu persoalan. Sejauh manakah cabaran wakil Afrika di Piala Dunia 2018 nanti?
Undian peringkat kumpulan jelas mempamerkan nasib wakil Afrika yang tidak menguntungkan. Sebagai contoh, Maghribi tersepit di tengah-tengah gergasi Eropah, Sepanyol dan Portugal, serta Iran dalam Kumpulan B. perkara sama turut dialami oleh Nigeria dalam Kumpulan D yang disertai Argentina, Iceland dan Croatia. Sementara Tunisia diundi bersama Belgium, England dan Panama dalam Kumpulan G.
Situasi itu membuatkan orang ramai menganggap cabaran ketiga-tiga pasukan itu akan berakhir awal kerana tidak mampu mengatasi tiga lagi pasukan dalam kumpulan masing-masing.
Cuma Mesir dan Senegal yang dilihat mempunyai peluang lebih cerah untuk melepasi peringkat kumpulan. Ini disebabkan Mesir hanya perlu berdepan Arab Saudi, Russia dan Uruguay dalam Kumpulan A. Di atas kertas, The Pharaohs memiliki potensi besar untuk ke pusingan kedua.
Manakala Senegal yang berada dalam Kumpulan H bersama Jepun, Colombia dan Poland juga dikatakan memiliki peluang cerah, kecuali dalam aksi berdepan Colombia. Jadi, kemampuan Les Lions de la Teranga bukan sesuatu yang mustahil.
Bagaimanapun, menolak perkiraan berdasarkan undian, wakil-wakil Afrikat tetap perlu berusaha kerasa untuk bersaing dengan pesaing lain serta mencuri tiket untuk ke pusingan kedua. Tambahan, bola sepak tidak mengenal erti mustahil kerana apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit.
Jika dapat menampilkan aksi terbaik, tidak kira sama ada hadir dengan status pasukan bukan pilihan atau tidak, wakil dari Afrika pasti mampu membuktikan kebolehan sebenar di Piala Dunia 2018 untuk memberikan kejutan yang akan diingati.
Tidak mustahil salah satu daripada mereka mampu mengulangi, malah melebihi pencapaian wakil Afrika di Piala Dunia, sekaligus menambahkan kesinambungan selama 32 tahun.