Piala Dunia 2018 Kolum

Analisis: Apakah nasib Rusia di pentas Piala Dunia?

Meskipun Rusia merupakan tuan rumah Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah, hampir tiada siapa sebenarnya yang benar-benar teruja dengan pasukan ini.

Pasukan kebangsaan Rusia, yang juga dikenali sebagai Sbornaya, mempunyai nasib yang serupa seperti England malah tidak keterlaluan, pasukan kebangsaan Malaysia sendiri.

Bola sepak merupakan sukan paling popular di Rusia, dengan populasi sebanyak 145 juta, jadi sudah tentu banyak bakat-bakat baharu yang masih belum diterokai.

Tetapi peluang untuk menjadi pemain profesional sebenarnya adalah sangat sukar, kalau ada pun mereka tidak dilatih dengan cara yang sepatutnya.

Satu perkara yang perlu difahami, kewangan sepatutnya bukan punca utama kepada masalah pembangunan bola sepak akar umbi.

Sebabnya, terlalu banyak duit yang telah dibelanjakan sejak kebelakangan ini, khususnya selepas dilantik sebagai tuan rumah Piala Dunia 2018.

Malangnya, duit tersebut tidak dibelanjakan dengan bijak.

Seharusnya mereka melaburkan duit tersebut ke pembangunan akar umbi di akademi, kejurulatihan peringkat belia dan padang latihan yang berkualiti mahupun prasarana tertutup.

Sebaliknya, semua duit itu dihabiskan untuk pemain import yang mahal, yuran ejen dan pembayaran gaji yang tidak seimbang.

Hasilnya, hanya beberapa pemain sahaja yang beraksi dengan baik dan selebihnya telah kehilangan motivasi untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

Kalau dibandingkan dengan apa yang berlaku ketika ini dengan pasukan kebangsaan Rusia awal 90an, iaitu selepas kejatuhan Soviet Union, perbezaannya agak ketara.

Di waktu bola sepak Rusia dalam keadaan yang porak-peranda dan berhadapan dengan masalah kewangan, pemain mengimpikan untuk beraksi di Eropah barat.

Yang paling berbakat beraksi di liga-liga terkemuka seperti Igor Shalimov dan Igor Kolyvanov di Serie A, Andrei Kanchelskis di Liga Perdana Inggeris, Valery Karpin, Aleksandr Mostovoi dan Viktor Onopko di La Liga serta Sergei Kiryakov di Bundesliga.

Ruang-ruang kosong yang ditinggalkan di liga Rusia pula diisi oleh pemain-pemain muda. Walaupun kualiti liga tidaklah seberapa, tetapi mereka mempunyai masa dan peluang yang mencukupi untuk meningkatkan tahap permainan masing-masing.

Disebabkan itu, generasi yang membesar pada zaman millennium mahu mengikut jejak langkah pemain-pemain terdahulu.

Lihatlah betapa pemain seperti Andrey Arshavin, Aleksandr Kerzhakov, Roman Pavlyuchenko dan Pavel Pogrebnyak mahu membuktikan bakat mereka di luar Rusia.

Padahal zaman merekalah gaji pemain di liga tempatan sudah berada di tahap yang agak tinggi tetapi itu tidak menghalang mereka untuk beraksi pada tahap yang lebih tinggi dan menerima gaji yang rendah.

Namun masa mengubah segala-galanya. Generasi hari ini adalah berbeza daripada sebelum ini.

Disebabkan pemain seperti Samuel Eto’o, Hulk dan Axel Witsel, bayaran gaji pemain tempatan meningkat dengan mendadak.

Bagi mengelakkan daripada setiap pasukan membariskan seluruh kesebelasan utama dengan pemain import, Persatuan Bola Sepak Rusia mengenakan kuota 6+5, sebuah kelab boleh menandatangani 11 orang pemain import tetapi hanya enam orang pemain import sahaja yang dibenarkan bermain dalam satu perlawanan liga.

Andre Villas-Boas cukup kritikal dengan format baharu itu.

“Ia akan menjadi pengakhiran kepada pembangunan bola sepak Rusia. Kalau salah seorang pemain tidak boleh bermain disebabkan kuota, yang lain akan menjadi malas dan tidak mahu berebut tempat mereka,” katanya.

Pendekatan sedemikian juga menyebabkan harga sesetengah pemain tempatan menjadi terlalu tinggi seperti Alexandr Kokorin, seorang penyerang berpotensi tinggi tetapi menerima gaji €5 juta euro setahun ketika beraksi untuk Dynamo Moscow.

Kini, Artem Dzyuba merupakan pemain paling bernilai di Liga Perdana Rusia apabila menerima purata €3.6 juta euro setahun. Ini diikuti Kokorin yang kini beraksi untuk Zenit dengan €3.3 juta euro dan Fyodor Smolov menerima €2.9 juta euro di Krasnodar.

Hakikatnya, tiada satu kelab di luar Rusia pun yang akan membayar Kokorin dengan gaji sebegitu banyak, disebabkan itu juga beliau tidak akan berpindah ke mana-mana.

Beliau tidak akan rasa tahap permainannya perlu ditingkatkan lagi dan hanya akan memikirkan di mana beliau mahu menghabiskan duitnya yang banyak itu.

Jadi bila terdapat laporan mengenai Kokorin dan rakan senegaranya Pavel Mamaev menghabiskan sehingga €250,000 euro untuk menikmati champagne selepas tersingkir dari Euro 2016, peminat Rusia sedikit pun tidak terkejut.

Hanya tiga pemain dalam skuad Piala Dunia Rusia yang berpangkalan di luar negara; Denis Cheryshev di Villarreal, Roman Neustadter di Fenerbahce dan penjaga gol, Vladimir Gabulov di Club Brugge.

Bukan itu sahaja, masih ingat lagi pada Alan Dzagoev? Pemain yang dianggap paling berbakat hampir 10 tahun lalu namun beliau memilih untuk terus menetap di CSKA menyebabkan tahap permainannya tidak banyak meningkat.

Sama seperti Oleg Shatov yang mempunyai potensi yang cukup tinggi, namun akhirnya beliau hilang arah dan tidak tersenarai untuk pasukan Piala Dunia.

Dzagoev dan Shatov berusia 20 tahun ketika Rusia dilantik sebagai tuan rumah. Sepatutnya, mereka sudah mencapai tahap kelas dunia dan mewakili negara serta mencipta sejarah baharu.

Mereka tidaklah 100 peratus bersalah dalam ini, sebaliknya sistem yang menjadi penyebab kejatuhan mereka. Kekurangan merancang dengan teliti menjadi bukti kepincangan Rusia.

Sampaikan terpaksa memanggil semula Sergei Ignashevich, pemain berusia 39 tahun yang sudah pun bersara daripada arena bola sepak antarabangsa.

Seolah-olah tiada pemain yang boleh menggantikannya dan juga adik beradik kembar Aleksei dan Vasili Berezutski disebabkan kelab-kelab Rusia lebih gemar menggunakan pemain pertahanan import.

Pencari bakat di Rusia, Anton Evmenov memberi pandangannya mengenai situasi di negaranya.

“Mereka hanya tinggal di liga Rusia, ini masalahnya. Jika mereka hanya bermain di Rusia, mereka tidak dapat mengenali teknik baharu, mereka tidak melihat perkara lain, mereka tidak bermain dengan orang yang mempunyai budaya bola sepak yang berbeza. Mereka tidak berusaha. Di Rusia, jika pegang pasport Rusia, ada kelebihannya. Tetapi ada juga kekurangannya, yang membenarkan pemain untuk tidak bekerja 100 peratus,” katanya.

Raymond Verheijen yang merupakan sebahagian daripada barisan kejurulatihan Rusia untuk Euro 2008 dan Euro 2012 berasa sedih dengan keadaan pasukannya yang kini tidak sebagus dahulu.

“Konservatisme dalam bola sepak menghentikan perkembangan. Cara terbaik untuk membangunkan pemain adalah beraksi dengan pemain yang lebih berkualiti. Pemain bagus membuatkan satu sama lain menjadi lebih baik. Jika mahukan pemain yang lebih baik, kita perlu mengelilinginya dengan pemain yang lebih baik. Jika pemain Rusia dikellilingi pemain biasa sahaja, mereka tidak akan berkembang,” katanya.

Berjaya ataupun tidak, sepanjang tempoh sembilan tahun yang diberikan sejak dilantik menjadi tuan rumah bagi edisi 2018, pembangunan bola sepak Rusia akan dinilai bermula dengan perlawanan menentang Arab Saudi malam ini.

Sama-samalah kita menyaksikan nasib Rusia di Piala Dunia kali ini.