Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 14 Jun 2018

Spekulasi perpindahan pemain sentiasa menarik perhatian peminat bola sepak di seluruh dunia. Kini, selepas saingan bola sepak di Eropah tamat pada bulan lalu, setiap pasukan dan pemain mula memikirkan haluan masing-masing menjelang saingan pada musim depan.

Sesetengah kelab sudah memulakan langkah, seperti Manchester United mendapatkan Fred dan Diogo Dalot serta Thomas Lemar yang dikatakan telah bersetuju dengan syarat perpindahan untuk menyertai Atletico Madrid.

Berikut adalah lima pemain yang dilaporkan telah mula menarik perhatian beberapa pasukan lain di Eropah:

Suso

Sebelum ini Atletico Madrid dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah AC Milan ini. Bagaimanapun, kini khabar angin itu semakin reda ekoran berita persetujuan kontrak antara Thomas Lemar dan kelab LaLiga itu, sekaligus memberikan harapan buat Tottenham dan Liverpool untuk cuba membawa Suso ke England. Apa yang menarik, Liverpool menjadi perhatian kerana selepas tiga tahun melepaskan pemain dari Sepanyol itu ke Milan menerusi perpindahan berjumlah GBP1 juta, dia kini cuba dipancing semula untuk ke Anfield.

Elseid Hysaj

Benteng dari Albania ini dilaporkan menjadi sasaran utama Chelsea sekiranya The Blues melantik bekas pengendali Napoli, Maurizio Sarri, sebagai pengurus pasukan. Sarri dilihat sebagai calon utama  bagi jawatan panas di Stamford Bridge tatkala Antonio Conte dilihat bakal ditunjukkan jalan keluar. Hysaj tampil hebat di bawah kendalian Sarri di Itali dan pemain berusia 24 tahun itu dilaporkan gembira untuk sekali lagi beraksi di bawah bimbingan pengurus itu.

David Luiz

Benteng skuad Piala Dunia 2014 buat Brazil ini telah menarik minat empat kelab dari Serie A Itali, termasuk naib juara, Napoli. Luiz berdepan masalah dengan pengurus Chelsea, Antonio Conte, dan hanya melakukan empat penampilan buat The Blues pada tahun ini. Situasi itu telah membuatkan pengurus baru Napoli, Carlo Ancelotti, berhasrat untuk memancingnya ke kota Naples bagi menyarung jersi biru muda Napoli. Spekulasi itu diperkuatkan dengan keinginan Luiz untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah pada musim depan selepas Chelsea sekadar menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga kelima bagi musim 2017/18.

N’Golo Kante

Seorang lagi spekulasi perpindahan melibatkan pemain Chelsea. Sebelum ini, Real Madrid dilaporkan berminat untuk membawa Eden Hazard ke Sepanyol tetapi kini tumpuan beralih kepada pemain tengah Perancis ini. Kante yang berusia 27 tahun diakui sebagai salah seorang pemain tengah terbaik ketika ini dan sekali lagi, aksi di Liga Juara-Juara Eropah membuatkan perpindahan keluar dari Stamford Bridge bukan sesuatu yang mustahil. Selain Los Blancos, Paris Saint-Germain (PSG) juga merupakan antara pasukan yang turut berminat untuk mendapatkannya.

Jack Grealish

Bintang muda berusia 22 tahun ini menampilkan aksi cemerlang bersama Aston Villa dalam saingan Liga Kejuaraan pada musim 2017/18. Bagaimanapun, kegagalan Villans melangkah ke saingan Liga Perdana Inggeris mungkin membuatkan Grealish berhijrah. Tottenham Hotspur dilaporkan telah menyediakan bidaan berjumlah GBP15 juta, namun Chelsea juga berminat dan bersedia untuk menawarkan yuran perpindahan sehingga GBP30 juta.