Malaysia Liga Super Malaysia

Import baharu JDT tumpul, ini reaksi Raul Longhi

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi mempertahankan aksi hambar penyerang import baharunya, Fernando Marquez semasa menewaskan Pahang 1-0 pada hari Jumaat lepas.

Pemain kelahiran Argentina itu memiliki dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol ke dalam gawang pasukan pihak lawan, namun kedua-dua peluang tersebut disia-siakan begitu sahaja.

Beliau hanya boleh berpuas hati dengan hantaran yang dibuatnya tepat pada masanya untuk Harris Harun menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Kebiasaannya, penyokong akan berasa gelisah melihatkan pemain baharu tidak memberikan kesan yang diharapkan namun situasi itu tidak mendatangkan panik buat Longhi.

“Adalah normal apabila penyerang berada pada prestasi baik atau buruk.

“Apa yang penting, Fernando mencipta peluang. Cuma perlawanan ini sahaja beliau gagal melakukannya.

“Tapi beliau pasti dapat menjaringkan gol pada perlawanan akan datang,” katanya kepada Stadium Astro.

Tambahnya, beliau tidak kisah siapa yang menjaringkan gol asalkan JDT dapat meraih kemenangan sebaik sahaja perlawanan tamat.

“Perkara paling penting hari ini (malam tadi), kalau kami tidak mencipta peluang, maka saya tidak gembira.

“Begitupun, kami menghasilkan peluang untuk meledak gol, ini paling penting,” kata jurulatih JDT, Raul Longhi.

Bagi pemain Pahang, Matthew Davies, beliau sudah menjangka perlawanan menentang JDT bukanlah perlawanan yang mudah tetapi sentiasa berharap Pahang dapat membuktikan sesuatu yang berbeza kepada juara bertahan Liga Super itu.

Malah, layangan kad merah ke atas Safuwan Baharudin menyulitkan lagi usaha mereka untuk menyamakan kedudukan.

“Pertemuan ini sentiasa sukar. Saya mengharapkan keputusan lebih baik.

“Kami telah berusaha menampilkan aksi terbaik.

“Seperti biasa, kami mengharapkan kemenangan untuk mengurangkan jurang kelebihan dengan JDT.

“Namun apa yang kami boleh lakukan ketika ini adalah menjamin kedudukan kedua dalam Liga Super,” katanya.