Walaupun masih ada masa yang panjang untuk membentuk pasukan bagi mengharungi Piala AFF 2018 yang akan berlangsung November ini, jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe berasa gusar dengan prestasi yang ditunjukkan oleh beberapa pemain pilihannya untuk diserapkan ke pasukan kebangsaan.
Katanya, kebanyakan pemainnya telah banyak menunjukkan peningkatan ketara namun kekurangan tempoh bermain dalam perlawanan dikhuatiri memberi kesan kepada perkembangan pemain.
“Barisan kejurulatihan sudah memantau prestasi pemain dalam beberapa perlawanan dan kita lihat memang ada peningkatan. Cuma apa yang merisaukan apabila ada pemain yang tidak dapat bermain.
“Tapi kita masih ada masa untuk pantau pemain ini dan kita berharap mereka dapat meningkatkan prestasi masing-masing. Pemain yang kurang bermain ini harus terus berlatih bersungguh-sungguh bagi meyakinkan jurulatih mereka,” katanya kepada Berita Harian.
Ketika ini, Cheng Hoe sedang merancang persiapan terbaik buat Harimau Malaya yang bakal berdepan Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos dalam saingan Kumpulan A Piala AFF.
Saingan Kumpulan B pula merupakan kumpulan maut meliputi juara bertahan Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor Leste.
Tambahnya, beberapa siri perlawanan persahabatan antarabangsa dijangka akan diadakan sebagai persiapan kejohanan tersebut.
“Kita bercadang untuk mengadakan latihan pusat dan perlawanan persahabatan pada bulan depan. Ia hanya membabitkan pemain yang tidak terbabit dalam final Piala FA. Selepas itu kita ada masa dalam kalendar FIFA pada September dan Oktober bagi latihan seterusnya,” katanya.