Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Previu Uruguay di Piala Dunia 2018: Kuda Hitam yang sedia melakar kejutan di Rusia

Dalam edisi-edisi awal Piala Dunia, Uruguay menjadi salah satu pasukan utama selepas memenangi kejohanan ini sebanyak dua kali, iaitu pada 1930 dan 1950. Malangnya, tempoh terbaik itu gagal diteruskan sehingga nama Uruguay perlahan-lahan kabur. Bahkan, mereka gagal melayakkan diri ketika saingan 1958, 1978, 1982, 1994, 1998 serta 2006.

Statistik Uruguay meningkat sejak kembali ke Piala Dunia edisi 2010. Ketika itu, mereka melayakkan diri ke separuh akhir. Empat tahun kemudian, mereka sekali lagi melepasi peringkat kumpulan, namun terkandas di suku akhir setelah tewas di tangan Colombia.

Di pentas Copa America, Uruguay meraih gelaran juara pada tahun 2011 walaupun ketika 2015 dan 2016, Edinson Cavani dan rakan sepasukannya terpaksa pulang awal selepas gagal melepasi peringkat kumpulan.

Mereka masih setia dan percaya kebolehan pengendali, Oscar Tabarez, untuk menghadapi saingan Piala Dunia 2018. Tidak dinafikan, mereka memiliki barisan pemain bertaraf bintang yang ramai seperti Cavani, Diego Godin, Fernando Muslera, Luis Suarez dan Matias Vecino yang sudah beraksi bersama sebelum ini.

Sekurang-kurangnya, Los Charruas memiliki kualiti yang sama seperti lawan lain dalam mengejar impian meraih trofi Piala Dunia ketiga dalam sejarah mereka.

Bayangan skuad

Seperti pasukan lain, Uruguay masih belum mengumumkan senarai akhir pemain yang akan dibawa ke Russia. Namun, Tabarez telah menyenaraikan 26 nama terbaik ke dalam skuad utama.

Daripada senarai di atas, mungkin slot tiga penjaga gol yang tidak akan tergugat tatkala pemain di posisi lain masih berdebar menanti keputusan daripada Tabarez.

Kombinasi pemain senior seperti Cavani, Godin, Muslera dan Suarez yang dibantu dengan pemain muda seperti Rodrigo Bentancur, Jose Maria Gimenez, Diego Laxalt, Lucas Torreira dan Vecino bakal menjadi pertaruhan pengendali. Kemampuan mereka sudah diakui sangat berkualiti.

Kekuatan

Memiliki dua orang penyerang utama yang sentiasa dahagakan gol seperti Cavani dan Suarez tentunya memberikan kekuatan tersendiri buat Uruguay. Gandingan kedua-dua pemain ini memainkan peranan besar buat Los Charruas di Piala Dunia 2018. Ketika aksi kelayakan Piala Dunia zon CONMEBOL, Uruguay telah mengutip 32 gol dan 15 daripadanya hasil sumbangan kedua-dua pemain ini.

Tabarez serta penyokong setia Uruguay pastinya mengharapkan persembahan epik kedua-dua pemain ini bersama Barcelona (Suarez) dan Paris Saint-Germain (Cavani) mampu memberi keajaiban di Russia. Gagal menyekat kemaraan mereka bermakna kekalahan bakal menanti pasukan lawan.

Kelemahan

Tatkala bahagian depan mereka begitu menyerlah dengan dua orang penyerang antara yang terbaik di dunia, Uruguay berdepan sedikit masalah di bahagian benteng. Ya, semestinya kelibat Muslera bersama Martin Caceres, Sebastian Coates, Godin dan Maxi Pereira tidak boleh dipandang rendah.

Namun, tiga daripada empat pemain itu telah berusia melebihi 30 tahun, membuatkan ia menjadi kelebihan buat barisan penyerang yang memiliki kepantasan dan kelincahan untuk menghukum mereka. Ketika aksi kelayakan, gawang Los Charruas telah dibolosi sebanyak 20 kali dalam 18 perlawnan sehingga muncul rekod terburuk buat empat pasukan teratas.

Pemain utama

Berbekalkan jumlah penampilan yang melebihi 100, Cavani membuktikan ketajamannya buat Uruguay di depan gawang dengan 42 gol. Ketika aksi Piala Dunia 2018 nanti, pemain berusia 31 tahun dari Salto ini akan berperanan sebagai penyerang utama Los Charruas. Kerjasamanya bersama Suarez pastinya menjadi faktor utama laluan Uruguay di Russia.

Sekiranya Cavani dapat menampilkan aksi hebat seperti ketika bersama PSG dalam beberapa musim sebelum ini, tidak mustahil Uruguay akan menjadi pasukan pertama ke pusingan seterusnya.

Jangkaan formasi

Hasil daripada kewujudan Cavani dan Suarez, Tavarez memilih untuk menggunakan corak permainan 4-4-2. Setiap pemain yang berada di hujung akan memegang peranan berbeza tetapi saling melengkapi.

Di bahagian tengah, Bentancur dan Vecino bakal bergelar arkitek permainan, sementara dua bahagian sayap akan diisi oleh Nahitan Nandez di kanan dan Christian Rodriguez di bahagian kiri.

Untuk barisan bawah, gandingan Coates/Gimenez dan Godin akan dipertaruhkan, Caceres dan Pereira akan cuba merebut posisi bek kanan dan Laxalt hampir pasti menjadi pilihan utama di bek kiri. Yang terakhir pastinya Muslera yang akan memegang tanggungjawab selaku penjaga gol utama.

Peluang di Piala Dunia 2018

Melihat kepada kekuatan mereka dan hanya akan berdepan lawan seperti Arab Saudi, Mesir dan Russia, Uruguay dilihat sebagai pilihan utama daripada Kumpulan A walaupun mungkin tidak dapat mencatat kemenangan bersih.

Jika tiada sebarang masalah, Los Charruas mampu mencipta kejutan melangkah ke Piala Dunia 2018 sehingga ke separuh akhir. Sekiranya ia berlaku, sudah pasti ia satu bonus buat Cavani dan rakan sepasukan.