Malaysia Liga Super Malaysia

Shukor Adan, Khairul Helmi dedahkan cara pemakanan pemain bola sepak pada bulan Ramadan

Kapten Felda United, Shukor Adan dan kapten pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari menganggap bermain bola sepak pada bulan Ramadan bukanlah satu bebanan jika pemain bijak menyesuaikan diri bagi memenuhi tuntutan sebagai umat Islam serta tanggungjawab sebagai pemain.

Jelas Shukor, ia juga sebenarnya tidak menjejaskan prestasi seseorang pemain jika mereka mengubahsuai cara pemakanan sepanjang menjalankan ibadah puasa.

Pemain berusia 38 tahun itu sendiri mengamalkan cara pemakanan yang betul bagi memastikan dirinya kekal cergas sepanjang menjalani ibadah puasa.

“Saya mengambil makanan yang agak berat ketika bersahur seperti nasi tapi makan secara sederhana atau ringan serta cepat hadam semasa berbuka supaya kekal cergas semasa berlatih atau beraksi dalam perlawanan.

“Saya juga mengamalkan pengambilan bahan pemakanan tambahan serta banyak minum air putih. Inilah amalan saya selama ini, jadi bulan puasa tidak mendatangkan sebarang masalah kepada saya,” katanya kepada Berita Harian.

Tambahnya, berdasarkan pengalaman beraksi pada bulan puasa, ia tidak pernah mendatangkan masalah besar kepada dirinya malah tidak sedikit pun menjejaskan ibadah puasanya.

“Saya sentiasa meletakkan karier pemain bola sepak sebagai pekerjaan, periuk nasi saya. Jadi, sebagaimana orang lain, saya perlu meneruskan tanggungjawab sebagai pekerja walaupun pada bulan Ramadan.

“Cuma bezanya, kalau pada bulan biasa pemain akan menjalani latihan pada sebelah siang, sepanjang Ramadan jadual latihan ditukar di sebelah malam.

“Saya bersyukur kerana jurulatih, B. Sathianathan sangat peka dan prihatin, beliau hanya memulakan latihan selepas kami selesai mengerjakan solat terawih,” katanya.

Bagi Khairul Helmi Johari, beliau mengakui kecergasannya sedikit terjejas sepanjang bulan Ramadan namun perlu menanganinya dengan bijak terutamanya ketika perlawanan berlangsung.

“Sebagai pemain, kita perlu bijak menyesuaikan diri dengan sebarang situasi. Contohnya, untuk bulan Ramadan, pemain perlu memperlahankan tempo permainan terutamanya pada tempoh antara 25 hingga 30 minit pertama bagi memastikan kami dapat bertahan sehingga 90 minit perlawanan.

“Sebagai pemain, saya akur dengan ketetapan penganjur meneruskan liga pada bulan puasa. Malah, ia bukan masalah besar kerana kami masih mampu menjalankan ibadah termasuk bersolat terawih kerana latihan hanya bermula pada pukul 10 malam,” katanya.