Malaysia Liga Super Malaysia

Analisis: Zaquan serap semangat Kanchelskis, Gomopressing gagal di Cheras

Kuala Lumpur berjaya membalas kekalahan ke atas Kelantan di Kota Bharu apabila berjaya mencatatkan kemenangan besar 5-1 ke atas skuad muda Kelantan. Kelantan biarpun diperkuat pemain pertahanan Tunisia,Alaeddine Bouslimi tidak dapat menunjukkan taktikal Gomopressing mereka dengan Guilherme De Paula terus menunjukkan keupayaannya menjaringkan gol di Liga Super. Ini antara analisis untuk perlawanan ini.

 

De Paula beri kelebihan

Kuala Lumpur menggunakan formasi 4-3-3 dengan Mohd Saifulnizam Miswan membuat berada dalam kesebelasan utama buat pertama kali untuk untuk City Boys. Berbeza dengan perlawanan pertama mereka di Kota Bharu, kali ini Guilherme De Paula kembali beraksi di bahagian serangan untuk KL. Dengan adanya Zhafri di bahagian tengah, mengurangkan bebas Paulo Josue untuk bertahan. Apa yang menarik, Zhafri dilihat diberikan tugas oleh Fabio Maciel untuk memberikan tekanan kepada barisan pertahanan Kelantan supaya mereka tidak dapat mencari pemain tengah. Kehadiran De Paula pula memberikan kelebihan fizikal dan Kuala Lumpur boleh menghantar bola tinggi berbanding ketika bermain di Kota Bharu.

Gomopressing tidak menjadi

Dengan pemergian Nik Shahrul Azim, pemain import baru, Alaeddine Bouslimi bergandingan dengan Cassio Jesus di bahagian pertahanan. Kelantan dilihat menggunakan formasi dan taktikal yang sama ketika bermain di Kota Bharu. Pada separuh masa pertama, mereka dilihat tertekan dengan corak permainan Kuala Lumpur, tetapi tetap bahaya ketika membuat serangan balas. Pada separuh masa kedua, baru Kelantan dapat menguasai bola, tetapi Kuala Lumpur yang sudah mendahului 3-1 memang mampu bertahan dengan baik.

Poyeng jadi jawapan kepada Gomopressing

Kenapa Saifulnizam diturunkan? Mungkin ada yang merasa aneh melihat Jufriyanto dan Hishamuddin berada di bangku simpanan. Tetapi sepanjang perlawanan, dapat dilihat kenapa Fabio memilih Poyeng. Berbanding Jufriyanto dan Hishamuddin, Saifulnizam mempunyai kelebihan dari segi kepantasan. Menentang pemain muda yang laju, Poyeng menggunakan pengalaman bermain sebagai fullback untuk mengejar dan menghalang serangan Kelantan. Jupe dan Hisham mungkin mempunyai kelebihan menentang pihak lawan yang bermain bola tinggi, tetapi menentang pemain yang laju, Saifulnizam jawapannya setakat ini.

 

Zaquan dapat semangat Kanchelskis

Pemain pertahanan baru Kelantan, Alaeddine Bouslimi mungkin dilihat sedikit gugup, tetapi sasaran Kuala Lumpur nampaknya adalah Cassio Jesus. De Paula dilihat lebih banyak menyerang di bahagian Cassio. Zaquan Adha yang mendapat semangat Andrei Kanchelskis yang datang ke Stadium Cheras telah mengucar-ngacirkan bek kiri Kelantan, Azwan Aripin dan menghantar bola ke De Paula yang agak mudah menewaskan Cassio beberapa kali. Kuala Lumpur juga banyak membuat serangan balas di sebelah Cassio.

Kelantan tiada Pelan B

Tidak salah untuk menggunakan sepenuhnya pemain muda, tetapi Kelantan nampaknya tidak ada pelan B. Mereka bermain dengan tempo yang cukup pantas, tetapi tidak ada ‘target man’ jika mahu bermain bola tinggi. Dengan kecederaan yang dialami Shafiq Shaharudin, serangan Kelantan sedikit terganggu. Shafiq bijak mencari ruang, dan ini boleh dilihat bagaimana dia menyelinap di antara Boburjon dan Saifulnizam untuk menjaringkan gol tunggal Kelantan. Tetapi, apabila Shafiq keluar, Kelantan dilihat kekurangan idea untuk menjaringkan gol, biarpun menguasai bola.