Tidak lama selepas mencipta kejutan dengan kemenangan besar 3-0 ke atas pendahulu Liga Premier, Felda United, pasukan MISC-MIFA dikatakan berdepan masalah kewangan ekoran perubahan tampuk kepimpinan dalam Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu.
MISC-MIFA sebelum ini beroperasi sepenuhnya dengan dana yang diberi kerajaan pusat, dan pertukaran kerajaan telah menyebabkan mereka kini terpaksa menangguhkan bayaran gaji 1 bulan kepada pemain-pemain mereka.
Ini satu perkara yang sebenarnya yang tidak enak mengenai bolasepak Malaysia. Rata-rata pasukan terlalu bergantung kepada dana sama ada daripada kerajaan pusat atau kerajaan negeri untuk beroperasi. Ini bukanlah perkara yang seharusnya berlaku dalam mana-mana liga di dunia.
Pasukan-pasukan di Malaysia perlu pandai berdikari dalam mencari dana. Disebabkan mereka terus menerus menerima dana daripada kerajaan, pengurusan kelab menjadi terlalu selesa kerana mereka tahu, setiap tahun pasti pasukan akan menerima wang dan mereka tidak perlu bersusah payah.
Ini sekaligus membantutkan perkembangan kelab itu sendiri. Dengan liga Malaysia mahu menuju ke arah penswastaan, semua pasukan seharusnya dilarang untuk menerima dana daripada kerajaan dan perlu mencari dana sendiri untuk beroperasi.
Jika ini berlaku dan pasukan-pasukan ditadbir oleh orang yang betul, kita akan dapat melihat semua pasukan lebih bercita-cita tinggi dan liga boleh menjadi lebih kompetitif.
Kebergantungan kepada sumbangan dana daripada kerajaan negeri atau parti politik akan membuatkan pasukan-pasukan ini menjadi alat untuk berpolitik. Demi meraih undi, ahli politik akan menggunakan pasukan-pasukan ini untuk berkempen. Bila sudah menang, terus mereka melupakan janji mereka dan akan mengulanginya dalam kempen di pilihanraya seterusnya. Yang merana, pasukan dan penyokong.
Oleh sebab itu pengurusan pasukan perlulah orang-orang yang benar-benar cintakan pasukan tersebut. Tidak salah berpolitik, tetapi jangan gunakan pasukan-pasukan ini sebagai alat.
Pihak pengurusan juga perlu lebih kreatif dan bersemangat untuk mencari dana. Jangan jaga pasukan atau kelab jika anda sendiri tidak mempunyai jiwa terhadap kelab berkenaan. Jangan jadikan jawatan dalam pasukan itu sekadar untuk menerima gaji bulanan tetapi anda sendiri tidak mempunyai perancangan atau cita-cita bersama kelab.
Semoga ini kali terakhir kita akan mendengar mengenai isu tiada dana ini. Cukuplah kita melihat Kelantan, Kuantan FA dan MISC-MIFA ini sahaja merana musim ini. Pengurusan pasukan lain dalam liga, sekali lagi saya ingatkan, tolong jangan malas dan sediakan pelan jangka masa panjang untuk pasukan masing-masing.