Pasukan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) bawah 14 dan 15 tahun (B-14 dan B-15) ketika ini berada di Dortmund, Jerman bagi menyertai kejohanan dan perlawanan persahabatan.
Kedua-dua pasukan berlepas ke Eropah Selasa lalu atas jemputan penganjur kejohanan bagi menyertai pertandingan di Dortmund bagi kategori B-14 yang turut disertai oleh beberapa akademi kelab terkemuka Eropah seperti Borussia Dortmund, Wigan Athletic dan FC Copenhagen.
Kejohanan B-15 pula akan berlangsung esok dan Isnin di Hollage di mana pertandingan tersebut pernah disertai pemain-pemain ternama seperti Zlatan Ibrahimovic, Manuel Neuer, Marco Reus dan Ousmane Dembele ketika mereka masih beraksi bersama akademi pasukan masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, beliau mahu para pemain memanfaatkan segala tunjuk ajar jurulatih dan mengulangi kejayaan yang dicatatkan oleh pasukan AMD B-13 yang telah meraih tempat ketiga dan keempat dalam dua kejohanan di Perancis bulan lalu.
“Saya mahu mereka beraksi dengan sebaik mungkin agar segala persediaan membuahkan hasil serta membuka mata kelab Eropah mengenai keupayaan pemain kita.
“Pemain perlu yakin dengan kebolehan masing-masing untuk beraksi di peringkat tertinggi kerana ini adalah pendedahan yang amat baik dalam karier bola sepak mereka untuk jangka yang panjang.
“Kita juga berharap selepas selesai kejohanan tersebut beberapa kelab Eropah akan memberi tawaran kepada pemain tempatan untuk menjalani latihan bersama akademi mereka.
“Peluang ini perlu digunakan dengan sebaik mungkin kerana ia adalah platform terbaik kepada pemain muda untuk menambat hati kelab terkemuka Eropah bagi mengikat kontrak bersama mereka setelah melepasi usia 18 tahun,” katanya kepada Kosmo!
Ini merupakan kali kedua pasukan AMD beraksi di Jerman setelah menduduki tempat keempat terbaik dalam kejohanan yang sama tahun lalu.
Pasukan yang dibawah program NFDP itu juga akan menghadapi satu lagi pertandingan pada bulan Jun depan selain ke Belanda untuk berdepan beberapa siri perlawanan persahabatan.