Dalam kalendar bolasepak Asia Tenggara tahun ini, ianya agak padat dengan pelbagai kejohanan. Selain daripada persiapan untuk Sukan Asia dan Piala AFF Suzuki, negara-negara Asean juga perlu bersedia untuk Piala AFC Bawah 16 tahun di Malaysia dan Piala AFF Bawah 19 tahun yang akan berlangsung di Indonesia pada bulan hadapan.
Vietnam nampaknya kini sudah berada di persediaan terakhir bagi mempersiapkan pasukan muda mereka untuk Kejohanan Piala AFF Bawah 19 tahun.
Skuad muda Vietnam kini dalam perjalanan ke China bagi sebagai persiapan terakhir mereka. Dalam edisi yang lalu, Vietnam gagal mara ke separuh akhir apabila sekadar menduduki tangga ketiga dalam kumpulan mereka.
Namun, untuk kejohanan di Indonesia kali ini, mereka sudah melakukan persiapan sejak tahun lalu termasuk menyertai Kejohanan Piala Suwon JS di Korea Selatan yang disertai tuan rumah, Mexico dan Morocco. Mereka juga sudah memulakan latihan pusat di Hanoi pada minggu ini.
Dalam Piala AFF Bawah 19 tahun kali ini, Vietnam diletakkan di Kumpulan A bersama Thailand, Singapura, Laos, Filipina dan tuan rumah, Indonesia.
Bagi Kumpulan B pula melibatkan skuad remaja Malaysia, Myanmar, Timor Leste, Kemboja dan Brunei.
Kejohanan Piala AFF Bawah 19 tahun ini akan berlangsung pada 1-14 Julai 2018 di Indonesia.