Berita Asia Tenggara

Persebaya akan taja pendidikan anak-anak mangsa serangan bom di Surabaya

Tragedi pengeboman tiga gereja di Surabaya benar-benar telah mengejutkan Indonesia. Kejadian yang berlaku pada minggu lalu telah mengorbankan nyawa dan menjadi antara detik hitam bagi bandar Surabaya.

Di saat tragedi seperti ini berlaku, kadang kala boleh dilihat betapa pentingnya hubungan erat pasukan bolasepak tempatan dengan penduduk setempat.

Pasukan asal Surabaya, Persebaya Surabaya telah membuat pelbagai aktiviti kebajikan bagi membantu keluarga mangsa yang terlibat.

Bukan itu sahaja, menurut Ketua Panitia Perlawanan Persebaya, Wisnu Sakti Buana, Persebaya akan menaja pendidikan anak-anak mangsa.

“Sebelum ini kami telah mengadakan kempen derma darah, tetapi ia tidak berhenti setakat itu sahaja. Kami juga akan berjumpa dengan keluarga mangsa terkorban yang masih mempunyai anak yang masih kecil. Kami akan menaja pendidikan mereka sehingga mereka habis belajar,” kata Wisnu seperti dilaporkan Tribunnews.

“Kami akan bantu keluarga mangsa, terutamanya anak-anak mereka. Bagaimana pendidikan mereka akan diuruskan.

‘Selain daripada program daripada kerajaan tempatan Kota Surabaya, kami juga akan menguruskan pendidikan mereka supaya mereka dapat belajar sehingga ke peringkat ijazah dengan tajaan ini.”