Beberapa kelab terkemuka di Liga Turki dikatakan berminat untuk mendapatkan pemain-pemain muda negara.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah selepas menyertai satu kongres dan pameran pelancongan bola sepak di Antalya, Turki awal bulan lalu.
Katanya, pihaknya akan melakukan kerjasama dengan beberapa kelab menerusi sokongan penuh daripada Konfederasi Bolasepak Turki (TFF) untuk membawa pemain muda berbakat dari negara ini beraksi di negara berkenaan.
Ketika ini, pihaknya sedang meneliti beberapa pemain yang berpotensi besar untuk dicadangkan kepada kelab utama Turki seperti Besiktas dan Fenerbahce.
“Setakat ini saya sedang membuat penilaian terhadap pemain, seterusnya video pemain yang dirasakan berpotensi akan dihantar kepada beberapa kelab di Turki.
“Kemungkinan tiga atau empat pemain akan saya cadangkan kepada mereka dan kita juga akan membawa wakil kelab ke Malaysia untuk mereka melihat sendiri aksi pemain muda negara dalam Liga Malaysia.
“Kita hanya fokus kepada pemain muda yang berusia 23 tahun ke bawah dan ia sudah pasti menjadi peluang terbaik buat perkembangan pemain dan kemajuan bola sepak negara,” katanya kepada Berita Harian.
Beberapa pemain muda negara sudah pun mempunyai pengalaman bersama kelab luar negara termasuk Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan yang baru sahaja menamatkan tempoh pinjaman dengan kelab Portugal, Vilaverdense FC dan kembali ke JDT.