Berita AFC Cup

Penyokong Persija pecahkan lagi rekod kehadiran Piala AFC

Perlawanan separuh akhir kedua Piala AFC Zon ASEAN tidak berakhir dengan kemanisan buat Persija Jakarta. Persija tewas di gelanggang mereka, Stadium Utama Gelora Bung Karno 1-3 sekaligus gagal bangkit daripada kekalahan di perlawanan pertama yang lalu.

Namun, apa yang boleh mereka banggakan dan tunjukkan kehebatan kepada pasukan di seluruh Asia adalah, tidak kira apa perlawanan, penyokong mereka akan sentiasa membanjiri stadium.

Dalam perlawanan bertemu Home United itu, penyokong Persija atau terkenal dengan julukan Jakmania, sekali lagi telah memecah rekod kehadiran penyokong bagi Piala AFC.

Jakmania memecahkan rekod yang mereka cipta sendiri dengan kehadiran seramai 62,198 penonton, mengatasi rekod mereka ketika perlawanan menentang Johor Darul Ta’azim (JDT) pada 10 April lalu yang mencatat kehadiran seramai 60,157 orang penonton.

Angka ini sememangnya luar biasa kerana jumlah penyokong yang menyaksikan perlawanan menentang Home United dan JDT melebihi jumlah penonton yang menyaksikan perlawanan akhir Piala AFC 2010 di antara Al-Qadsia (Kuwait) menentang Al-Ittihad (Arab Saudi) di Stadium Jaber Al-Ahmad, Kuwait yang dihadiri 58,604 penonton.

Melihat kepada jumlah penonton bagi perlawanan Persija Jakarta, ia menunjukkan bahawa kehadiran kembali kelab Indonesia ke kejohanan Asia sememangnya satu perkara menarik. Adakah atmosfera yang sama akan kita temui pada tahun hadapan? Kita perlu tunggu.