Malaysia Liga Super Malaysia

Tan Sri Elyas Omar: Insan hebat yang memberikan sayap kepada Helang Kota

Tan Sri Elyas Omar. Satu nama yang sering disebut bila bercakap mengenai bolasepak Kuala Lumpur. Bagi penyokong Kuala Lumpur era dahulu, mereka begitu bertuah kerana dapat merasai kejayaan yang dibawa oleh figura yang cukup menakjubkan ini.

Malang bagi aku kerana aku tidak berada dalam zaman kegemilangan Kuala Lumpur di bawah Tan Sri Elyas Omar. Ketika Kualam Lumpur menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 1987, 1988 dan 1989, aku baru berusia 1,2 dan 3 tahun. Mana mungkin aku mengerti apa-apa berkenaan bolasepak ataupun pasukan Kuala Lumpur. Yang aku tau ketika itu cuma menangis, minum susu atau mungkin membangunkan ibu bapa aku di waktu malam.

Aku mula mendengar cerita mengenai Allahyarham Tan Sri Elyas Omar ini di usia remaja. Tetapi ketika itu, aku masih belum berjinak dengan bolasepak Kuala Lumpur. Ya, aku sedikit lambat menyokong Kuala Lumpur. Ketika itu, banyak yang aku dengar adalah mengenai bagaimana Malaysia menjuarai Piala Thomas ketika di bawah kendalian Tan Sri Elyas Omar. Selepas aku mula mendekati diri dengan bolasepak Malaysia dan Kuala Lumpur, baru aku sedikit demi sedikit mengetahui mengenai insan ini.

Namun, malang bagi aku, aku tidak dikelilingi oleh orang-orang yang menyokong pasukan Kuala Lumpur walaupun aku dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Tidak banyak info yang aku dapat mengenai Tan Sri Elyas Omar. Kalau ada pun, mungkin sekadar omong kosong. Ketika internet mula diperkenal di Malaysia, barulah banyak cerita dan maklumat yang aku dapat mengenai Tan Sri Elyas Omar dan bolasepak Kuala Lumpur.

Membaca semua kisah kejayaan Kuala Lumpur di bawah naungannya, membuatkan aku terfikir, kenapa tidak ada lagi insan sepertinya yang mahu menaikkan Kuala Lumpur? Adakah Kuala Lumpur tidak terlalu seksi untuk mereka? Kenapa insan seperti Allahyarham Tan Sri Elyas Omar yang biarpun berasal dari Pulau Pinang, tetapi tetap mampu membantu Kuala Lumpur lebih daripada anak jati Kuala Lumpur sendiri?

Dengan pemergian insan yang telah menjadikan Kuala Lumpur sebagai gergasi bolasepak penghujung 80-an ini, sewajarnya, KLFA dan DBKL sendiri perlu memberikan penghormatan kepadanya.

Ada cadangan daripada seorang penyokong Kuala Lumpur agar nama Stadium Bolasepak Kuala Lumpur ditukar namanya ke Stadium Tan Sri Elyas Omar, dan bagi aku itu penghormatan terbesar yang boleh kita berikan kepada insan hebat ini.

Kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Elyas Omar, aku kirimkan ucapan takziah di atas kehilangan mereka. Kepada warga Kuala Lumpur, mari kita doakan agar dia tenang di sana dan semoga suatu hari nanti, kita mampu ambil inspirasi daripada semangat Allahyarham Tan Sri Elyas Omar untuk menaikkan semula Kuala Lumpur dalam liga Malaysia. Sampai Mati Kuala Lumpur!