Malaysia Liga Super Malaysia

Pasukan Liga Malaysia perlu bijak urus pemain pada bulan Ramadan

Jurulatih FELDA United, B. Sathianathan menyifatkan bulan Ramadan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk para pemain tidak mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan.

Sebaliknya, jurulatih perlu bijak menguruskan latihan yang sesuai dengan pemain di bulan puasa.

“Tak ada masalah sebenarnya bermain di bulan puasa, kalau kita lihat liga bola sepak di negara Arab tetap berjalan dan meriah. Cuma jurulatih kena pandai menguruskan latihan bagi mengekalkan kecergasan pemain.

“Pada saya ia hanya psikologi pemain kita yang fikir tak boleh aktif pada bulan puasa. Pemain hanya akan berlatih pada jam 10 malam hingga 12 tengah malam, selepas itu mereka boleh bersahur awal dan pada sebelah siang hanya berehat.

“Tak akan ada kesan kepada kualiti permainan. Kalau kita nak tetapkan tempoh permainan satu musim yang tetap dan tidak berubah, kita kena bermain pada bulan puasa seperti di negara Arab. Jika tidak tempoh musim liga kita tidak akan tepat,” katanya kepada Berita Harian.

Manakala bagi jurulatih Terenggganu FC, Irfan Bakti Abu Salim percaya saingan Liga Super tetap berjalan dengan rancak meskipun setiap pasukan akan mengharungi lima perlawanan sepanjang Ramadan.

“Saya rasa tak ada masalah dengan prestasi pemain, kita akan mulakan latihan pada sebelah malam dan semua pemain juga diingatkan supaya menjaga pemakanan. Mungkin akan ada kesan sedikit tapi saya percaya penyokong akan tetap datang ke stadium juga.

“Dua tahun lalu liga tetap berjalan ketika Ramadan, jadi pada saya tak ada masalah. Cuma saya harapkan pemain terus konsisten untuk mengejar pendahulu JDT,” katanya.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini membuat keputusan untuk meneruskan saingan Liga Malaysia pada bulan Ramadan memandangkan pasukan kebangsaan akan menghadapi saingan Piala AFF November ini.