Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri tidak menolak kemungkinan akan mendapatkan pakar psikologi sukan untuk anak buahnya di Chelsea selepas pasukan itu tewas 0-1 di tangan Leicester City, Sabtu lalu melalui gol jaringan babak kedua daripada Jamie Vardy.
Kekalahan ini menyaksikan Chelsea kekal di tangga keempat liga sekali gus ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Liverpool dan perbezaan gol dengan Arsenal
Ditanya sama ada dia menggunakan khidmat pakar psikologi sukan untuk mengatasi masalah dialami pemain Chelsea, Sarri menjawab: “Tidak buat masa ini kerana ia bukan mudah.
“Saya mempunyai pakar psikologi sukan 15 tahun lalu. Di Itali, ia sangat sukar kerana kelab tidak bersedia pada masa itu tetapi saya fikir mereka juga tidak bersedia pada masa ini. Ini pengalaman saya ketika di Itali.
“Saya tidak pasti di sini. Kita boleh bercakap perkara ini dengan kelab. Kenapa tidak?
“Ia jelas kami tewas bukan disebabkan cara kami bermain. Kami kurang bernasib baik dan kami tewas kerana reaksi selepas lawan menjaringkan gol adalah tidak betul.
“Kami bermain dengan corak permainan yang sama. Kami menguasai keseluruhan perlawanan,” kata Sarri.
Biarpun jadual padat yang dihadapi setiap pemain semasa musim perayaan ini memberi kesan yang tidak baik kepada pemain, Sarri tetap percaya bahawa pemain beliau mampu untuk mengharungi jadual yang padat.