Malaysia Berita

Safee Minta Harimau Malaya Jangan Terlalu Selesa

Bekas penyerang negara, Safee Sali mengingatkan agar Harimau Malaya tidak terlalu selesa meskipun bergelar naib juara Piala AFF 2018. Malah beliau meminta agar skuad negara mensasarkan kejohanan yang lebih besar dan memperbanyakkan aksi antarabangsa dengan negara yang berada di ranking yang jauh lebih baik daripada Harimau Malaya

“Kita hanya melepasi peringkat Asia Tenggara dan belum lagi mencapai tahap Asia. Apapun, momentum ini sudah cukup baik buat pasukan supaya terus memperagakan aksi lebih baik dalam aksi persahabatan yang akan diatur.

“Pemain perlu terus didedahkan dengan perlawanan berintensiti tinggi selain menentang pasukan dengan fizikal yang jauh lebih baik. Melalui cara ini, mungkin kita dapat memberi saingan di peringkat Asia,” katanya.

Beliau juga menyatakan sokongan kepada Tan Cheng Hoe untuk terus membawa misi skuad negara kerana bagi beliau, Cheng Hoe memilik kualiti dan cara yang tersendiri.

“Cheng Hoe memiliki ciri dan kualiti yang terbaik untuk kekal sebagai jurulatih berdasarkan pencapaiannya pada Piala AFF 2018.

“Saya kagum dengan perubahan dalam corak permainan pasukan kebangsaan ketika ini kerana mereka lebih dinamik di seluruh bahagian dan banyak menggunakan pendekatan menyerang.

“Saya mengharapkan Cheng Hoe akan terus diberi kepercayaan sebagai jurulatih kerana beliau layak berada di posisi itu,” katanya kepada Berita Harian.