Berita Asia

Penyokong Persija diminta bantu petugas keselamatan menjelang pertembungan Home United

Menjelang perlawanan separuh akhir kedua zon ASEAN Piala AFC bertemu Home United di Stadium Gelora Bung Karno malam ini , Persija Jakarta nampaknya perlukan segala bantuan yang diperoleh, bukan setakat untuk mencatat kemenangan, tetapi juga untuk memastikan perlawanan berjalan lancar.

Ekoran insiden pengeboman tiga buah gereja di Surabaya, kawalan keselamatan telah diperketat di Indonesia termasuklah perlawanan bolasepak. Apatah lagi perlawanan seperti ini yang melibatkan kelab dari negara luar, sudah tentu semua pasukan keselamatan akan bertugas bagi memastikan tiada insiden yang akan berlaku.

Namun, apa yang menarik, isu keselamatan ini bukan sahaja mendapat bantuan daripada pihak polis, tentera dan petugas keselamatan kelab, tetapi ia juga bakal mendapat bantuan pemain ke-12 Persija Jakarta iaitu seluruh Jakmania.

Pengarah Utama Persija Jakarta, Gede Widiade, telah memohon bantuan seluruh keluarga Jakmania untuk membantu petugas keselamatan jika terlihat ada individu yang mencurigakan.

“Oleh sebab itu, penyokong perlu membantu pihak polis untuk mengenalpasti jika ada individu yang mencurigakan di sekeliling,” kata Gede seperti dilaporkan Liputan6.com.

“Segera laporkan kepada pihak polis yang bertugas jika ada terlihat individu yang tidak dikenali dan kelihatan mencurigakan. Lebih baik mencegah sebelum insiden terjadi.”

Bagi mengelakkan sebarang insiden terjadi, seramai 7,000 petugas keselamatan yang terdiri daripada pihak polis dan angkatan tentera Indonesia akan bertugas dalam perlawanan tersebut.