Malaysia Berita

Nasihat TMJ kepada Kim Pan-gon: Usah panggil pemain JDT sahaja termasuk De Paula

Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon supaya tidak mengambil jalan mudah dengan memanggil semua pemain JDT.

Katanya, ini terutamanya pemain yang tidak mempunyai minit permainan dan gagal menunjukkan prestasi cemerlang seperti Guilherme De Paula.

“(Dia) patut pergi ke setiap perlawanan yang ada untuk kenalpasti ramai lagi pemain berbakat dalam negara,” kata TMJ dalam sesi bersama peminat malam tadi.

“Bukan ambil jalan mudah ambil semua dari sini (JDT) sahaja.

“Contoh di sini, saya pun tak pakai De Paula. Dia tak ada satu minit permainan di sini.

“Jadi saya tak faham kenapa coach ambil dia, apa sebab ambil dia. Dia (Pan-gon) pun tak beri apa-apa sebab.

“Dia perlu ada sikap lebih tanggungjawab, bukan setakat ambil sesiapa sahaja yang datang dari kelab ini, tetapi ambil yang betul-betul ada minit permainan dan prestasi.”

Beliau bagaimanapun mengakui JDT membuat keputusan untuk menandatangani De Paula kerana enggan melihat pemain naturalisasi itu menyertai pasukan lain.

“Saya ambil dia pasal saya tak nak orang lain ada lebih pemain import..lepas itu saya suruh dia duduk diam-diam. Sama juga dengan Liridon Krasniqi.”

Namun, beliau menganggap pengambilan De Paula dan Liridon adalah satu kesilapan yang dilakukan oleh FAM.

“Saya rasa itu adalah silap FAM untuk membawa mereka menjadi sebahagian daripada projek jangka masa pendek kerana umur sudah meningkat.

“Kalau FAM betul-betul nak pemain berkualiti yang boleh memberikan sumbangan kepada negara, dia mesti pemain lebih muda dan boleh pakai lebih lama.

“Jadi untuk ada pemain umur macam De Paula dan Liridon adalah silap tapi JDT terpaksa rekrut cepat-cepat pasal takut orang lain ada ekstra pemain import…saya jujur.”