Ketua jurulatih baharu Negeri Sembilan, Mario Lemos mahu para pemainnya mengubah sikap selepas tewas 1-2 kepada Kedah dalam aksi Liga Super baru-baru ini.
Katanya, beliau berdepan tugas berat bagi meningkatkan prestasi pasukan itu dan mengharapkan perubahan memandangkan saingan liga masih panjang dan banyak lagi perlawanan yang akan dihadapi.
“Saya hanya mahu ubah dan susun semula permainan pasukan ini untuk jadi lebih baik dalam perlawanan, tapi ia tidak mungkin berjaya tanpa perubahan sikap pemain sendiri.
“Walaupun setakat ini pasukan tak bagus sangat, tapi kami kena usaha untuk tingkatkan lagi prestasi kerana perjalanan liga masih jauh dan pemain perlu bekerja keras untuk mencatat kemenangan.
Lemos yang mengambil alih Negeri Sembilan daripada Azraai Khor Abdullah, Khamis lalu juga menyifatkan prestasi beberapa pemain agak memuaskan namun tetap tidak berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh.
“Walaupun pada hari perlawanan pasukan gagal mendapatkan mata tapi saya lihat ada peningkatan dalam persembahan terutamanya pada separuh masa kedua hingga mampu menghasilkan gol.
“Namun ia belum cukup dan saya nak tanamkan dalam diri setiap pemain supaya sentiasa fokus dan bijak dalam permainan. Ini perubahan yang saya nak lakukan tapi pemain juga kena ada rasa nak berubah,” katanya.
Skuad Hobin Jang Hobin kini menghadapi sembilan perlawanan tanpa sebarang kemenangan dengan hanya mengutip dua mata sahaja dan kali terakhir mencatatkan kemenangan pada bulan Februari lalu menewaskan Kuala Lumpur dengan keputusan 2-0.
Pasukan itu sekali gus kekal di tangga terbawah liga dengan mengutip lima mata, beza tiga mata dengan tempat ke-11, Kelantan.