Malaysia Liga Super Malaysia

JDT bernasib baik, Nazliazmi bangga dengan persembahan pemain Selangor

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menganggap pendahulu Liga Super, JDT hanya bernasib baik selepas seri 2-2 dalam aksi Liga Super baru-baru ini.

Katanya, pasukannya terlalu mudah membenarkan pasukan Harimau Selatan menjaringkan gol penyamaan setelah mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

“Kami hampir memenangi perlawanan tapi gagal disebabkan faktor kelekaan di barisan pertahanan.

“Gol penyamaan JDT pada separuh masa kedua itu terlalu mudah. Pertahanan kami tidak memberi cukup tekanan kepada Gonzalo Cabrera untuk memberi ruang kepadanya membuat hantaran.

“Kombinasi Willian Pacheco dan Alfonso De La Cruz juga tidak begitu baik dalam menangani hantaran Cabrera itu sehingga membenarkan Harry Novillo melakukan tandukan tepat ke arah gawang,” katanya kepada Berita Harian.

Pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Selangor menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh tiga minit menerusi Saiful Ridzuwan Selamat dan Rufino Segovia selepas ketinggalan 1-0 namun terpaksa berpuas hati dengan keputusan 2-2 hasil tandukan pemain import baharu JDT, Harry Novillo.

Bagaimanapun, Nazliazmi tidak terlalu kritikal terhadap anak buahnya malah menganggap mereka sudah menunjukkan aksi yang cukup baik lagi-lagi menentang pasukan seperti JDT.

“Secara keseluruhannya, ada peningkatan positif dalam pasukan. Pemain menunjukkan kesungguhan, usaha, fokus dan kerjasama sepasukan yang baik.

“Kami sentiasa mahukan yang terbaik untuk pasukan dan Selangor perlu lebih bersedia menghadapi baki saingan kerana cabaran dalam setiap perlawanan liga musim ini cukup sengit.

“Cuma saya harap akan ada penambahbaikan lagi dalam pasukan jika kami melakukan pertukaran import atau pemain tempatan pada jendela perpindahan kedua ini,” katanya.