Awal musim ini, ketika diumumkan bahawa kuota pemain import Asean akan diperkenal untuk menambah jumlah pemain import kepada lima orang dalam saingan Liga Malaysia, ramai merasakan ini akan menjadi satu tambahan menarik. Dengan barisan tiga pemain import antarabangsa, satu pemain import Asia dan satu daripada Asean, mungkin inilah masanya untuk bakat-bakat dari Asean berhijrah.
Pemain-pemain dari Indonesia, Kemboja, Filipina dan Singapura datang untuk merancakkan saingan bolasepak Malaysia. Nama-nama seperti Evan Dimas, Achmad Jufriyanto, Faris Ramli, Chan Vathanaka dan ramai lagi terbang ke Malaysia untuk memenuhi kuota import Asean.
Namun, selepas separuh musim, nampaknya nasib pemain-pemain Asean dilihat tidak begitu baik dengan beberapa pemain telah dilepaskan dan ada yang bakal dilepaskan.
Pemain seperti Ferdinand Sinaga dilepaskan kerana masalah kewangan yang menimpa Kelantan, tetapi pemain dari Kemboja seperti Keo Sokpheng, Prak Mony Udom bahkan bintang muda mereka, Chan Vathanaka turut dilepaskan kerana prestasi kurang memuaskan. Terbaru, pemain muda Indonesia Evan Dimas dan Ilham Udin dikhabarkan mungkin dilepaskan oleh Selangor. Bahkan ada laporan media Indonesia menyatakan bahawa Liga Malaysia merupakan ancaman kepada pemain-pemain muda Indonesia. Apa sebenarnya yang terjadi?
Satu perkara yang pasti adalah, pemain-pemain ini sebenarnya diharapkan akan menunjukkan prestasi sama seperti pemain-pemain daripada Brazil, Argentina atau negara Asia seperti Korea atau Jepun. Dengan gelaran pemain import, penyokong dan pengurusan melihat mereka ini perlu beraksi setaraf pemain import antarabangsa dan bukan sama seperti pemain tempatan.
Mungkin juga pemain-pemain ini terbiasa dengan tekanan kurang kerana beraksi sebagai pemain tempatan di liga masing-masing. Malangnya apabila bergelar pemain import, mereka sebenarnya perlu menunjukkan bahawa mereka lebih baik dari pemain tempatan sedia ada dan bukan sekadar mengisi kekosongan kuota import. Tekanan tinggi menyebabkan mereka tidak diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan liga dan pasukan masing-masing kerana semua pasukan mahu perbelanjaan mereka memberi impak dalam tempoh masa yang singkat.
Tetapi, kenapa pemain Singapura seperti Faris Ramli (PKNS) dan Safuwan Baharudin (Pahang) boleh menunjukkan prestasi cemerlang dan mendapat kepercayaan pasukan? Mungkin kerana kedua-dua pemain ini sudah merasa beraksi di Liga Malaysia bersama Lions XII, jadi mereka sudah serasi dengan keadaan di Malaysia. Bahkan, Safuwan sendiri pernah merasa beraksi di negara lain ketika bersama Melbourne City.
Pengenalan kuota import Asean di liga-liga Asia Tenggara bukanlah satu perkara yang buruk sebenarnya. Tetapi pemain perlu keluar dari kepompong keselesaan beraksi di liga sendiri dan berkerja lebih keras lagi. Lihat bagaimana pemain Thailand seperti Chanatip Songkrasin, Teerasil Dangda dan Theeraton Bunmathan yang beraksi di Liga Jepun. Chanatip dan Teerasil berjaya membuktikan keupayaan mereka dan mendapat kepercayaan untuk beraksi.
Janganlah apa yang terjadi kepada Ferdinand Sinaga, Chan Vathanaka dan pemain-pemain Asean menjadi sebab untuk pemain tempatan terus selesa di liga sendiri. Jadikan apa yang terjadi kepada mereka untuk terus berkerja keras untuk mendapat peluang beraksi di luar negara.