Luar Negara Eropah

Barisan penyerang divisyen kedua yang menyinar di Eropah musim ini

Persaingan musim ini hampir ditamatkan. Beberapa pasukan daripada liga kedua sudah menempah tiket untuk ke liga tertinggi pada musim akan datang. Antara pasukan-pasukan tersebut, terdapat pemain yang tampil memukau, malah berkemungkinan mampu beraksi bersama pasukan lebih besar pada musim depan.

Sebelum ini, kami sudah membincangkan tentang beberapa pemain dari Liga Kejuaraan England yang beraksi hebat sepanjang musim ini. Kini, tiba masa untuk beralih ke pemain liga kedua di liga utama Eropah, terutamanya barisan penyerang yang begitu tajam di depan gawang pada musim ini.

Lewis Grabban (Sunderland/Aston Villa)

Lewis Grabban dipinjamkan oleh Bournemouth kerana persaingan yang tinggi di barisan depan sejak ketibaan Jermaine Defoe. Grabban kemudian dipinjamkan ke Sunderland, sebelum tampil hebat menerusi 12 gol di separuh musim pertama Liga Kejuaraan. Memasuki separuh kedua, terjadi insiden kontrak melebihi perjanjian yang menyaksikan Aston Villa meminjam Grabban. Hasilnya, dia membawa kelab dari Birmingham itu melangkah ke play-off untuk merebut tiket ke Liga Perdana Inggeris.

Raul de Tomas (Rayo Vallecano)

Ketika Alvaro Morata berpindah ke Juventus pada 2013, tidak menjadi satu kesilapan apabila Raul de Tomas menganggap dirinya akan segera dinaikkan ke pasukan senior Real Madrid. Namun, akhirnya dia lebih banyak dipinjamkan ke pasukan lain. Apa yang malang buatnya adalah ketika dia semakin matang, muncul nama penyerang muda lain iaitu Borja Mayoral. Bagaimanapun, pencapaian de Tomas yang membawa Rayo Vallecano kembali ke LaLiga dengan 23 gol tentunya akan membuatkan Real memikirkan semula untuk membawanya kembali.

Marvin Duckhs (Holstein Kiel)

Marvin Duckhs merupakan produk akademi Borussia Dortmund. Dia tidak bersama pasukan itu kerana tidak meraih kesempatan beraksi. Hoslten Kiel yang baru dinaikkan dari Divisyen Tiga mendapatkannya sewaktu Duckhs tidak sempat beraksi hebat bersama St. Pauli. Di pentas 2.Bundesliga musim ini, Duckhs membawa Holstein Kiel ke play-off untuk mendapatkan tiket ke saingan Bundesliga.

Matej Vydra (Derby County)

Sebelum kehadiran Vaclac Kadlec dan kini Patrick DSchick, nama Matej Vydra sempat menjadi sebutan sebagai pengganti kepada penyerang hebat Republik Czech seperti Jan Koller dan Milan Baros. Sayangmnya, Vydra lebih banyak menghabiskan kariernya di divisyen bawahan England setelah dilepaskan Udinese pada 2015. Kini, dia kembali melalui prestasi hebat bersama Derby County. Setakat ini, Vydra muncul penjaring terbanyak Liga Kejuaraan dengan 21 gol.

Umut Bozok (Nimes)

Nama penuhnya adalah Umut Dilan Bozok, pemain termuda dalam senarai ini. Nimes menjadi pasukan paling produktif di Ligue 2 musim ini apabila menjaringkan 73 gol, dimana 26 daripadanya adalah hasil sumbangan Bozok, sekaligus memberikannya anugerah kasut emas. Bakat Bozok diyakini akan menjadi tumpuan Ligue 1 pada musim akan datang.

Francesco Caputo (Empoli)

Empoli sudah pasti melangkah ke Serie A musim depan selepas menjuarai Serie B musim ini. Watak utama yang menjayakan laluan itu adalah penyerang, Francesco Caputo, yang mencatat 26 gol. Walaupun sudah berusia 30 tahun tetapi pengalaman Caputo beraksi di pelbagai tahap liga di Itali membuatkannya memiliki nilai tersendiri.