Luar Negara Eropah

Cara unik Real Sociedad memberi penghormatan buat Xabi Prieto dalam aksi terakhirnya

Baru-baru ini, pemain tengah Real Sociedad, Xabi Prieto, telah mengumumkan keputusannya untuk bersara sebaik sahaja musim 2017/18 berakhir.

Keputusan itu telah mengejutkan penyokong-penyokong Sociedad dan juga LaLiga kerana pemain yang berasal dari San Sebastian (daerah buat Sociedad) itu baru berusia 34 tahun dan belum sampai ke penghujung pemain profesional.

Bagaimanapun, mereka tetap faham dan menghormati keputusan yang dilakukan oleh legenda mereka itu. Selepas melalui tempoh karier profesional selama 15 tahun, Xabi muncul sebagai one-club man setelah hanya mewakili Sociedad dalam 500 perlawanan serta 75 gol di semua kejohanan.

Kesetiaannya bersama La Real telah diuji hebat sewaktu pasukan yang beraksi di Stadium Anoeta itu beraksi di Divisyen Segunda (divisyen dua) bermula 2007/08 sehingga 2009/10 selepas tersingkir dari LaLiga pada 2006/07.

Sebagai penghormatan buat legenda ini, pihak Sociedad melakukan satu langkah unik ketika aksi bertemu Leganes malam semalam. Sociedad memutuskan untuk meletakkan logo kelab di bahagian kiri dada pada jersi buat sementara dan menggantikannya dengan karikatur wajah Xabi. Di bahagian sisi atas karikatur tersebut disertakan nama pemain dengan tulisan Xabi Prie10 (angka sepuluh diambil dari nombor yang digunakannya).

“Xabi sudah menggunakan lambang La Real selama bertahun-tahun, maka pada hujung minggu nanti giliran La Real yang menjaga lambang Xabi di dada dalam aksi terakhir kami di laman sendiri, musim ini,” memetik kenyataan laman web rasmi Sociedad apabila perkara ini diumumkan minggu lepas.

Malam semalam, Sociedad berjaya menumpaskan Leganes 3-2, sambil menyarung jersi tersebut. Gol-gol daripada Mikel Oyarzabal, Sergio Canales dan juga Willian Jose membantu mereka meraih kemenangan yang cukup beremosi. Xabi Prieto turut dibawa masuk sebagai pemain gantian pada penghujung perlawanan, memberi peluang kepada penyokong Sociedad untuk menunjukkan penghormatan mereka.

Lihat highlight perlawanan tersebut di bawah