Nampaknya bahang Pilihanraya masih melekat. Bukan sahaja kerajaan yang bertukar, tetapi ketua jurulatih Negeri Sembilan juga bertukar!
Tidak lama selepas melantik Azraai Khor untuk menjadi ketua jurulatih, Negeri Sembilan sah telah sekali lagi menukar ketua jurulatih mereka.
Jurulatih yang berasal dari Portugal, Mario Lemos sah menggantikan Azraai Khor dan telah memulakan sesi latihan bersama skuad Jang.
Lemos sebelum ini memulakan kerjaya jurulatih bersama pasukan remaja di Portugal sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat untuk setahun. Dia kemudiannya menjadi pembantu ketua jurulatih di Muangthong United sebelum berpindah ke Korea untuk menjadi ketua jurulatih kelab amatur, TNT FC.
Dengan kehadiran Lemos, ini bermakna Negeri Sembilan telah menggunakan tiga orang jurulatih dalam masa tidak sampai satu musim. Pada awal musim ini, Jorg Steinebruneer dari Jerman telah mengendalikan Negeri Sembilan. Namun, selepas aksi hambar skuad Jang di Liga Super, dia telah direhatkan dan digantikan dengan Azraai Khor. Malangnya nasib Negeri Sembilan tetap tidak berubah apabila langsung tidak mencatat kemenangan dalam lima perlawanan termasuk kekalahan besar kepada Pahang dan JDT. Hanya dua mata berjaya dipungut oleh Negeri Sembilan yang dibimbing Azraai apabila seri dengan Kelantan dan Kedah.
Negeri Sembilan kini berada di tangga terbawah dengan 5 mata dan berdepan misi sukar untuk kekal di Liga Super. Negeri Sembilan berjaya naik ke Liga Super bersama Kuala Lumpur, Terengganu dan PKNP apabila tambahan dua pasukan Liga Super, Felda United dan T-Team (kini Terengganu II) telah diturunkan ke Liga Premier.