
Bangunan paling berprestij dan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, telah dipilih sebagai pusat penyelenggaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk undian peringkat kumpulan pusingan akhir Piala Asia 2019 pada 4 Mei lalu.
Sebanyak 24 negara daripada benua Asia yang menyertai kejohanan itu telah dipecahkan kepada enam kumpulan yang berbeza. Kini, kehangatan cabaran setiap pasukan telah terasa menjelang aksi di Emiriyah Arab Bersatu pada 5 Januari sehingga 1 Februari 2019.
Seperti edisi sebelum ini, juara dan naib juara setiap kumpulan akan ke pusingan seterusnya. Namun, mulai 2019, Piala Asia yang mengalami pertambahan jumlah penyertaan akan mengikuti format yang digunakan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) sewaktu menganjurkan EURO 2016, dimana empat pasukan yang menduduki tangga ketiga dengan mata terbaik akan turut ke pusingan seterusnya.
Situasi itu membuatkan wujud satu perkara yang cukup menarik ketika proses undian, terutamanya wakil-wakil Asia Tenggara seperti Filipina, Thailand dan Vietnam.
Berada dalam balang yang berbeza, Thailand di balang 2, Vietnam di balang 3 dan Filipina (4), potensi ketiga-tiga pasukan itu untuk berada dalam satu kumpulan yang sama sangat besar, atau sekurang-kurangnya dua daripada mereka berkongsi kumpulan.
Namun, berdasarkan undian, senario pertemuan wakil ASEAN di peringkat kumpulan kerana mereka ditempatkan dalam kelompok yang berlainan. Thailand menghuni Kumpulan A, Filipina mengisi slot Kumpulan C dan Vietnam berada dalam Kumpulan D.
Keadaan itu sendiri menimbulkan persoalan mengenai laluan wakil ASEAN di Piala Asia 2019. Antaranya adalah sejauh mana mereka berpeluang untuk melangkah jauh dalam edisi kali ini?
Thailand
Beraksi dalam Kumpulan A, antara lawan yang akan ditemui skuad The War Elephants adalah Bahrain, India dan tuan rumah, UAE. Melihat kepada peringkat AFC, Thailand jelas pasukan paling lemah tetapi situasi itu tidak boleh dijadikan ukuran buat Chanathip Songkrasin dan rakan sepasukannya. Lebih-lebih lagi, kualiti mereka sebagai sebuah pasukan sudah teruji sebelum ini di bawah kendalian Milovan Rajevic.
Di bawah bimbingan pengurus dari Serbia itu, Thailand menjulang trofi Piala Raja 2017. Mereka juga mahu tampil cemerlang dalam aksi Sukan Asia 2018 pada Ogos ini, sambil mengejar kejuaraan keenam di pentas Piala AFF 2018 pada Disember.
Ini bererti The War Elephants mempunyai banyak peluang untuk mempersiapkan diri bagi mengasah strategi sebelum beraksi di UAE. Saingan Piala Asia 2019 adalah ukuran sebenar kualiti Thailand yang semakin sukar disekat kerana memiliki banyak bakat baru yang hebat. Lebih-lebih lagi kali terakhir mereka tampil di pentas terbesar Asia itu adalah 11 tahun lalu.
Filipina
Perkembangan yang ditunjukkan Filipina dalam beberapa tahun terakhir jelas melahirkan rasa kagum. Jika sebelum ini mereka adalah pasukan belasahan, kini situasi telah berubah.
Bagi The Azkals, penyertaan mereka ke Piala Asia 2019 adalah pencapaian besar di dalam kejohanan itu. Tentunya wajar apabila mereka tidak terlalu meletakkan harapan tinggi. Lebih-lebih lagi apabila lawan yang bakal dihadapi adalah China dan Korea Selatan yang pernah bergelar juara sambil satu lagi pasukan adalah Kyrgyztan, satu lagi pasukan baru.
Berdasarkan kedudukan AFC, Filipina berada dalam ranking ternedah dalam Kumpulan D. namun, mereka tetap berpeluang untuk menghadirkan kejutan sehingga ke pusingan kalah mati, seperti memberi cabaran kepada China dan Kyrgyztan.
Walaupun tersingkir daripada peringkat kumpulan, jika Filipina berjaya mengharungi kempen Piala Asia 2019 dengan catatan gol dan kurang dibolosi tentunya satu pencapaian terbaik buat Phil Younghusband dan rakan sepasukannya.
Vietnam
Diundi dalam Kumpulan D bersama Iraq, Iran dan Yaman tentunya bukan perkara yang menggembirakan Vietnam. Lebih-lebih lagi, Iran adalah pasukan yang bercita-cita besar dan telah tampil hebat dalam empat edisi sebelum ini.
Bagaimanpun, Vietnam kini semakin berkembang sebagai salah sebuah pasukan gergasi ASEAN dan ia terbukti apabila skuad B-23 mereka muncul naib juara dalam saingan Piala Asia B-23 2018 pada Januari lalu.
Beberapa pemain The Golden Dragons seperti Nguyen Cong Puong dan Nguyen Quang Hai telah muncul sebagai bintang sensasi. Mereka telah diuruskan oleh jurulatih, Park Hang-seo.
Keadaan itu juga membuatkan Vietnam berpotensi untuk tampil luar biasa dan mengejutkan seteru lain sebelum melangkah ke pusingan kalah mati dalam aksi Piala Asia 2019. Tatkala mencuri mata daripada Iran tampak mustahil, mereka mungkin mampu melakukannya ketika berdepan Iraq atau Yaman.
Jika harapan itu dapat diselesaikan, peluang buat Nguyen Cong Puong dan rakan sepasukan mungkin lebih cerah untuk melangkah jauh. Sekurang-kurangnya, muncul sebagai naib juara Kumpulan C atau muncul tempat ketiga terbaik untuk ke peringkat seterusnya.