Malaysia Liga Super Malaysia

Bukan senang untuk saya tinggalkan Kelantan – Khairul Fahmi

Penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat nyata mengalami sedikit kesusahan dari segi emosi ekoran keputusan Kelantan FA untuk melepaskannya daripada skuad utama mereka, biarpun baru berada di pertengahan musim 2018.

Khairul Fahmi, yang lebih dikenali sebagai Apek, akan menyertai skuad Melaka United untuk baki musim ini dan walaupun dia tekad mahu membalas jasa pihak pengurusan skuad Hang Jebat, dia tetap mengakui bahawa meninggalkan Kelantan bukanlah suatu perkara yang mudah.

“Bukan mudah untuk saya membuat keputusan ini. Namun selepas memikirkan soal masa depan dan periuk nasi ke­luarga terpaksalah saya me­ngambil keputusan ini. Lagipun perjalanan karier bola sepak saya masih panjang untuk ditempuhi,” katanya kepada Kosmo!

“Bagaimanapun saya perlu bekerja keras untuk pasukan baharu bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama,” tambah Khairul Fahmi, yang pernah membantu skuad kebangsaan memenangi Piala AFF Suzuki pada tahun 2010.

Selain Apek, Kelantan turun melepaskan seorang lagi pemain berstatus lagenda, iaitu Badhri Radzi. Namun, destinasi seterusnya untuk Badhri masih tidak diketahui buat masa ini.