Malaysia Piala FA Malaysia

Syahmi Safari terkilan tidak dapat beraksi menentang Kuala Lumpur

Pemain sayap Selangor, Syahmi Safari berasa cukup terkilan apabila tidak dapat beraksi menentang Kuala Lumpur dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Kuala Lumpur, malam ini.

Pemain berusia 20 tahun itu terpaksa direhatkan selama enam minggu selepas mengalami kecederaan di lutut kiri dan dalam proses rawatan dan pemulihan.

“Pemain mana yang tidak mahu membantu pasukan untuk mencipta kemenangan. Apa boleh buat, saya ditimpa kecederaan. Tidak dinafikan rasanya sebab kami sudah masuk ke suku akhir.

“Saya hanya boleh mendoakan agar pemain Selangor dapat memberikan aksi terbaik menjelang pertemuan menentang Kuala Lumpur. Memang kami ada bekalan selesa, namun itu bukan satu jaminan kerana dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas Syahmi, pemain pasukan Selangor tidak boleh terlalu yakin dalam perlawanan itu selepas menewaskan Kuala Lumpur 3-0 dalam aksi pertama pada 7 April lalu.

“Kami tidak boleh bergembira hingga tiket ke separuh akhir sudah menjadi milik kami,” katanya.

Selain Syahmi, Selangor terpaksa turun tanpa Willian Pachecho, Amri Yahyah dan Halim Zainal yang digantung perlawanan manakala Joseph Kalang Tie turut mengalami kecederaan.

Meskipun mencatatkan kemenangan 3-0 dan dijangka tidak akan berhadapan masalah menentang Kuala Lumpur, Selangor mahu menunjukkan kebangkitan selepas mencatatkan kekalahan besar 4-0 kepada Kedah pada saingan Liga Super minggu lalu.