Jurulatih JDT, Raul Longhi menyifatkan pertarungan antara JDT dan Pahang seolah-olah satu perlawanan akhir apabila bertemu pada suku akhir kedua di Larkin, malam ini.
Katanya, persediaan yang rapi telah dilakukan dengan sebaiknya malah semua pemain diberikan rehat pada hari Ahad selepas mengharungi jadual yang padat dengan Piala AFC dan saingan Liga Super sebelum kembali menyambung latihan pada hari Isnin.
“Kita menumpukan latihan taktikal dan pemain begitu komited kerana mereka tahu aksi menentang Pahang dalam saingan Piala FA ibarat pentas final, apatah lagi beraksi di laman sendiri.
“Saya akui kita akan berdepan lawan yang sukar memandangkan Pahang bukan calang-calang pasukan kerana mereka memiliki kekuatan tersendiri.
“Tetapi dalam bola sepak jika kita fokus, kita boleh mencapai kemenangan, cuma perlu berhati-hati supaya tidak melakukan kesilapan mudah.
“Perlawanan pertama di Kuantan berakhir dengan keputusan seri 0-0 dan sudah tentu aksi di Larkin menjadi penentu dan kami harus membuat persiapan rapi dan memberi keyakinan kepada pemain untuk turun melebihi 100 peratus dan memburu satu atau dua gol,” katanya kepada Berita Harian.
Tambah Longhi, beliau cukup gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain ketika meraih kemenangan 3-0 ke atas PKNS FC minggu lalu namun menganggap perlawanan tersebut tidak boleh dibandingkan dengan pertemuan menentang Pahang.
“Perlawanan bertemu PKNS merupakan satu perlawanan yang berbeza dengan perlawanan bertemu Pahang. Namun kami akan cuba untuk mengekalkan momentum yang sama.
“Pahang mempunyai beberapa penyerang dan pemain tengah yang hebat. Kami tidak boleh memandang rendah terhadap mereka.
“Saya sentiasa mengingatkan kesemua pemain, mereka perlu melakukan serangan untuk mencipta seberapa banyak jaringan, namun pada masa yang sama perlu bijak mengawal keadaan kerana pasukan Pahang mempunyai pemain yang laju dan berbahaya di bahagian serangan,” katanya.
Longhi turut menegaskan mereka sudah bersedia jika perlawanan diheret ke masa tambahan mahupun sehingga ke penentuan sepakan penalti, tetapi mengharapkan perlawanan malam ini berkesudahan dalam tempoh 90 minit yang memihak kepada JDT.