Malaysia Berita

Hamidin terus menerima sokongan untuk mengambil alih sebagai Presiden FAM

Datuk Hamidin Mohd Amin merupakan individu yang paling layak menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini malah mampu mengembalikan zaman kegemilangan pasukan bolasepak negara.

Menurut jurulatih MOF FC, Mohd. Razip Ismail, beliau menyuarakan pendapat sedemikian memandangkan Hamidin mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam kancah bola sepak tempatan.

“Beliau sudah lama dalam pentadbiran bola sepak negara dan di peringkat kebangsaan. Beliau tahu apa yang perlu dilakukan untuk menaikkan kembali bola sepak.

“Sebagai bekas pemain, saya hanya mahu melihat skuad kebangsaan kembali berjaya. Lakukan perkara yang betul dan berterusan, jangan takut dengan tekanan dan kritikan, saya harap beliau mampu melakukannya,” katanya kepada Berita Harian.

Razip menambah, meskipun beliau tidak mempunyai hak untuk menentukan kepimpinan FAM, ia adalah tanggungjawab ahli gabungan FAM dalam memilih individu yang layak menerajui kerusi nombor satu tersebut.

“Bagi mencapai kejayaan, kemenangan tidak boleh diraih dengan sekelip mata. Ini bukan kerja yang mudah namun perlu ada kesabaran dan kerja kuat. Bukan sahaja presiden yang perlu bekerja keras namun semua pihak yang berkepentingan,” katanya.

Hamidin yang kini adalah Setiausaha Agung FAM dilihat bakal menerajui badan induk berkenaan malah sudah mendapat pencalonan daripada 18 ahli gabungan untuk diputuskan dalam Kongres FAM  ke-54 pada 14 Julai depan.

Nama Hamidin dicadangkan sendiri oleh bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta mendapat sokongan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sebelum ini, Hamidin dikenali dengan pentadbirannya bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selama 18 tahun bermula dengan jawatan Setiausaha Eksekutif FAS pada 1 Ogos 1995 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung pada 1 Januari 1998 hingga 2013.

Beliau yang juga Naib Presiden FAM ketika itu kemudian dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM menggantikan Datuk Azzuddin Ahmad yang dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).