Apa sudah jadi?
Dahulu pernah bergelar juara treble, antara pasukan terhebat di Malaysia, digeruni pasukan lawan. Kini Red Warriors mula terumbang-ambing. Selepas diganggu isu gaji dan pampasan tertunggak beberapa musim lalu, musim ini Kelantan semakin dirundung malang.
Selepas ketua jurulatih Sathit Bensoh direhatkan, seorang demi seorang pemain Kelantan terpaksa dilepaskan bagi mengimbang semula kewangan pasukan.
Terbaru, pemain berpengalaman, Nor Farhan Muhammad dikhabarkan akan dipinjamkan ke kelab Piala FAM, D’AR Wanderers FC dan dikhabarkan dua lagi pemain kesebelasan utama juga akan dilepaskan.
Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani menulis di laman Facebooknya menyatakan bahawa semua ini dilakukan bagi kebaikan pemain dan pasukan.
“KAFA tidak akan menganiaya pemain dan pasukan. Bruno (pemain import) tercedera dan memerlukan masa hampir dua bulan untuk sembuh dan belum tentu dapat bermain sebelum waktu tersebut. Farhan seorang yang mudah bertolak ansur dan memahami walaupun sukar tetapi bila pengurusan kewangan sebenar, kita jangan menilai untuk hari ini sahaja, tetapi dalam tempoh hingga kontrak tamat.
“Bila tidak dibayar gaji pemain, maruah pasukan tercalar, harga diri akan hilang bola terdengar suara yang mereka sendiri belum dapat menanggung sendiri gaji pemain setiap bulan, malah mengungkit ke stadium sedangkan dengan kutipan hasil perlawanan paling tinggi pun sekadar membayar gaji sebulan dua pemain import.”
Agak sedih apabila melihat keadaan The Red Warriors sekarang. Kelantan yang dahulunya melakukan revolusi apabila menukar jenama daripada skuad kijang ke The Red Warriors. Bermula daripada Piala FAM, mereka bangkit sehingga bergelar juara Liga Super. Barisan pemain mantap seperti Khairul Fahmi, Badhri Radzi, Indra Putra dan Nor Farhan sendiri memainkan peranan untuk membantu Kelantan menjulang piala.
Kini nama-nama itu sudah mulai tua. Ada yang sudah berpindah, dan ada yang prestasi semakin merudum. Khairul Fahmi yang dahulu dijulang sebagai wira, kini semakin jauh daripada jersi nombor 1 negara. Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya, dahulu sering diminta oleh peminat supaya dipanggil ke skuad kebangsaan. Kini, dia sendiri sukar untuk membantu pasukannya naik.
Apa nasib Pahlawan Merah ini? Tumpulkah sudah pedang mereka? Hancur sudah perisai mereka? Mampukah mereka kekal di Liga Super, atau perlu jatuh ke Liga Perdana untuk bangkit semula bagaikan Burung Phoneix dari abunya.