Luar Negara Eropah

Kenali Konsortium China yang mahu merevolusikan Wolverhampton dengan bantuan Jorge Mendes

Pembelian Fosun ke atas Wolves bermakna syarikat China telah memonopoli sebahagian besar kelab di sekitar Britain. Pengerusi syarikat tersebut adalah Guo Guangchang, individu yang menduduki tangga ke-226 senarai usahawan terkaya dunia berdasarkan kaji selidik Forbes pada 2017 berbekalkan harta bernilai 8.6 bilion dollar. Dia menjana kekayaan hasil dirinya sendiri, sama seperti individu bernama Jack Ma. Guo membesar dalam keadaan papa kedana, sebelum menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Dia memulakan langkah membina syarikat bersama rakan-rakannya ketika China membuka peluang keusahawanan dan pelaburan asing pada 1990 apabila bertindak selaku penasihat kepada syarikat asing bagaimana dan dimana untuk melaburkan wang di China. Secara tidak langsung, dia telah menambahkan jumlah kewangannya dan membina legasi sendiri. Bagaimanapun, persembahan Wolves tidak begitu sepadan dengan pelaburan besar yang dilakukan. Tidak hairan mengapa nama Nuno tiba di kelab selepas Kenny Jackett, Walter Zenga dan Paul Lambert dipecat.

Revolusi bola sepak yang terbesar berlaku di Wolves selepas ia melibatkan hasil kerja Jorge Mendes, ejen hebat yang mempunyai nama Cristiano Ronaldo dalam senarainya. Kehadirannya lantas memberikan kesan besar kepada perkembangan di Molyneux. Beberapa pemain dari Portugal yang diwakili Mendes dilihat tiba di West Midlands, sehingga ada yang menolak tawaran beberapa kelab besar England, termasuk Nuno sendiri.

Sudah semestinya satu kesalahan apabila membayar seorang ejen bola sepak untuk menjalankan proses jual beli sesebuah pasukan dan Wolves telah menolak spekulasi bahawa Mendes memegang peranan lain dalam menasihatkan kelab untuk menjalankan operasi untuk mendapatkan pemain. Setakat ini, setiap perpindahan telah dibayar dengan sempurna.

Mendes bagaimanapun dilihat berada pada situasi yang tepat untuk menggunakan kesempatan yang diberikan dalam pelaburan China di pentas bola sepak Eropah. Dia telah berkhidmat sebagai penasihat buat Fosun untuk melibatkan diri dalam dunia bola sepak. Lima bulan sebelum Fosun mendapatkan Wolves, sebuah syarikat yang dikawal Guo Guangchang telah melaburkan wang buat syarikat agensi Gestifute yang dikawal oleh Mendes. Pihak Liga Bolasepak membuat keputusan bahawa tiada kesalahan yang membabitkan kehadiran Mendes sehingga mempengaruhi Wolves.

Apa yang tidak meragukan buat Mendes adalah dia telah melakukan kerja dengan bagus, membawa masuk pemain dan jurulatih yang tepat sehingga mungkin mampu membawa Wolves kembali ke pentas Liga Perdana Inggeris. Dari situ, Wolves telah mengesahkan untuk berbelanja bukan sekadar untuk kekal dalam aksi tertinggi di England tetapi untuk muncul sebagai salah satu nama gergasi dalam dunia bola sepak.

Tentunya perkhabaran itu membuatkan penyokong-penyokong Wolves tersenyum tetapi harus berjaga-jaga. Beberapa syarikat milik usahawan China telah mula tersungkur ekoran perubahan pada kuasa dan politik di negara itu. Satu penghalang telah ditetapkan pada pelaburan asing dalam sukan. Pihak kerajaan China mengesyaki bahawa perniagaan melalui bola sepak membuatkan mereka memindahkan aset keluar dari negara itu. Situasi itu tampak berlaku ketika pertukaran pemilikan Southampton. AC Milan kini dalam krisis berkemungkinan pemiliknya tidak mampu untuk menampung pasukan sementara pengerusi ADO Den Haag terpaksa dikeluarkan daripada pihak tertinggi pasukan kerana gagal membiayai anggaran perbelanjaan kelab Belanda itu.

Situasi itu mungkin berkaitan dengan misteri kehilangan Guo Guangchang. Salah satu polisi yang ditetapkan Xi Jinping adalah menghapuskan rasuah dan korupsi. Hasilnya, beberapa ahli perniagaan berprofil tinggi telah ditangkap dan disingkirkan. Ada yang berpendapat langkah itu dilakukan untuk melenyapkan pengkritik. Namun, Guo telah hilang selama beberapa hari dan Fosun menyekat kesemua pertuakran saham mereka. Apabila dia kembali, Fosun menjelaskan Guo telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa, namun tidak dapat mengelak daripada kejatuhan saham sebanyak 10%, membuktikan bahawa Guo telah keluar atas perniagaan.

Segala perkara ini langsung tidak menyentuh isu Financial Fair Play. Jika tidak dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris, Wolves akan berdepan cabaran dalam memenuhi tuntutan yang ditetapkan tetapi senario itu tampak mampu dikejar oleh mereka ketika ini. Penyokong-penyokong Wolves pastinya berharap agar masa depan pasukan kesayangan mereka ditentukan di atas padang, bukan hasil daripada politik dan ekonomi dari negara timur.

Oleh James Montague
(www.tifofootball.com)