Siapakah yang bakal menggantikan tempat TMJ selaku Presiden FAM?
Selepas nama Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin disebut-sebut sebagai bakal pengganti, dua lagi nama tiba-tiba muncul dan disebut sesuai untuk menjadi Presiden baru FAM.
Dalam satu laporan NST, seorang pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi,Mohd Sadek Mustaffa menyatakan bahawa dua pemilik kelab bolasepak Inggeris, Tan Sri Vincent Tan dan Tan Sri Tony Fernandes sesuai untuk memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia.
Adakah benar mereka sesuai?
Kedua-dua usahawan terkenal ini memiliki kelab Inggeris iaitu Queens Park Rangers (Tony Fernandes) dan Cardiff City (Tan Sri Vincent Tan). Bagi Vincent Tan, dia juga memiliki beberapa kelab lain juga di luar England seperti FK Sarajevo (Bosnia), pemilik bersama Los Angeles FC (Amerika Syarikat) dan K.V Kortrijk (Belgium).
Kedua-duanya cukup terkenal sebagai usahawan yang hebat. Tony berjaya menaikkan nama Air Asia sehingga menjadi salah satu jika bukan penerbangan tambang rendah terhebat di dunia. Vincent Tan pula merupakan pengasas Berjaya Group yang mempunyai pelbagai jenis perniagaan dan mempunyai nilai yang cukup tinggi.
Dengan kehebatan mereka berniaga, mungkin FAM tiada masalah dari segi mencari dana. Mereka juga mempunyai minat dalam bolasepak kerana kedua-duanya mempunyai kelab bolasepak di luar negara.
Persoalannya, adakah mereka tahu dan minat dengan bolasepak tempatan? Setakat ini, kita belum melihat kedua-dua figura ini menunjukkan minat yang mendalam terhadap bolasepak tempatan. Mungkin Tony Fernandes ada PJ Rangers yang dahulunya dikenali sebagai Air Asia FC dan Cardiff City di bawah Vincent pernah mengendalikan klinik bolasepak di Malaysia, tetapi itu tidak cukup meyakinkan.
Kedua-duanya merupakan peniaga dan pastinya mereka tahu apa yang untung dan apa yang merugikan. Adakah untung buat mereka memimpin satu persatuan bolasepak yang skuad kebangsaannya semakin jatuh? Atau mereka akan melihat dari segi perspektif bolasepak merupakan sukan paling terkenal di Malaysia dan ia mampu menguatkan jenama mereka?
Vincent dan Tony merupakan pemilik kelab, jadi kebanyakan tugasan mengendalikan kelab bukan tugas mereka. Jika mereka dicalonkan dan salah seorang menang, tugas sukar buat mereka untuk memulihkan FAM. Mungkin mereka boleh menyaingi apa yang sudah dilakukan oleh TMJ, tetapi TMJ sendiri sukar untuk membantu menaikkan Malaysia terutamanya dari segi ranking.
Buat para penyokong Malaysia, agak sedih kerana kita tidak punya kuasa untuk menentukan siapa bakal memimpin FAM. Jadi, apa yang kita boleh buat, hanya tunggu dan lihat siapa pula yang akan memimpin persatuan sukan yang paling kita sayangi ini.