Sukan SEA

Malaysia jumpa Indonesia di separuh akhir

Pasukan Indonesia mara separuh akhir setelah mencatat kemenangan ke atas Kemboja dalam perlawanan terakhir kumpulan B di Stadium Shah Alam petang tadi.

Kemaraan Indonesia dibantu oleh kemenangan pasukan Thailand yang berjaya menewaskan Vietnam 3-0 dalam satu lagi perlawanan kumpulan B di Stadium Selayang. Thailand mara selaku juara kumpulan B manakala Indonesia selaku naib juara kumpulan B.

Kedudukan naib juara kumpulan B ini bermakna Indonesia akan bertemu juara kumpulan A iaitu Malaysia di separuh akhir manakala Thailand akan bertemu naib juara kumpulan A, Myanmar.

Jurulatih Indonesia, Luis Milla bangga dengan kejayaan itu dan berpuas hati dengan prestasi anak buahnya.

“saya ingin mengucapkan syabas kepada pemain kerana perjuangan mereka untuk memburu tiket ke separuh akhir akhirnya menjadi kenyataan. Tetapi saya sedih ada insiden yang tidak sepatutnya berlaku pada akhir perlawanan ini,” katanya

Sementara itu, jurulatih skuad Bawah 22 Tahun negara, Datuk Ong Kim Swee mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengambil mudah pertemuan dengan Indonesia Sabtu ini, dalam misi memburu tiket ke final Sukan SEA 2017.

“Kita tahu Indonesia bertambah baik, dalam kempen peringkat Kumpulan B, mereka berjaya seri dengan Thailand (1-1) dan Vietnam (0-0). Kita tak boleh ambil mudah dan ambil kira keputusan perlawanan terdahulu ketika bertemu Indonesia di kelayakan AFC,” katanya kepada berita harian ketika ditemui pada sesi latihan, hari ini.

“Tapi kita ada sedikit kelebihan sebagai pasukan tuan rumah dan penyokong yang akan memberi semangat kepada pemain. Jika pemain kekal berdisiplin, kita ada peluang untuk layak,” katanya.

Kali terakhir Malaysia layak ke final Sukan SEA di bawah kendalian Kim Swee di Jakarta 2011 dan meraih pingat emas dengan mengalahkan tuan rumah menerusi sepakan penalti 4-3, selepas terikat 1-1 pada aksi sebenar.

sumber:  Berita Harian