Piala Dunia 2018 Luar Negara

Doktor Tribe: Isco meletup di Wanda Metropolitano, Argentina ditumpaskan dengan mudah

Isco berjaya meledak hat-trick untuk membantu Sepanyol menewaskan Argentina 6-1 di Stadium Wanda Metropolitano di Madrid, awal pagi tadi.

Sepanyol membuka tirai jaringan melalui Diego Costa seawal minit ke-12, sebelum Isco berjaya menjaringkan gol kedua pasukannya, 15 minit kemudian. Nicholas Otamendi menanduk masuk gol tunggal Argentina, enam minit sebelum tamat babak pertama, namun Sepanyol terus mengganas pada babak kedua.

Isco mencatat gol ketiga Sepanyol pada minit ke 52, dan Thiago Alcantara menjadikan skor perlawanan 4-1 pada minit ke 55. Iago Aspas dan Isco kemudiannya berjaya menjaringkan dua lagi gol dalam masa dua minit, untuk membantu skuad Lopegui meraih kemenangan yang cukup besar.

Artikel Doktor Tribe ini akan menampilkan nama-nama pemain yang mencuri perhatian ramai, pemain yang paling mengecewakan, selain turut memberi sedikit analisis berkenaan corak taktikal yang digunakan oleh kedua-dua pengurus.

PEMAIN TERBAIK (MVP)

Sepanyol: Isco

Bintang Real Madrid ini cukup menakjubkan awal pagi tadi dan dia menjadi titik tumpuan setiap serangan yang dilancarkan oleh pasukan Sepanyol. Jika dulu Sepanyol memiliki Xavi dan Iniesta, kini Isco nampak bersedia untuk mengambil alih tanggungjawab tersebut. Hat-trick yang cemerlang daripada bekas pemain Malaga ini.

Argentina: -

PEKERJA KERAS

Sepanyol: Iago Aspas

Suatu masa dahulu, Iago Aspas gagal menyerlah bersama Liverpool. Namun, sejak pulang ke La Liga, dia kembali menyinar sebagai seorang penyerang dan awal pagi tadi, Aspas sekali lagi menunjukkan kualitinya di atas padang. Meskipun hanya digunakan sebagai pemain simpanan, Aspas bekerja cukup keras di bahagian serangan, dan akhirnya berjaya menyumbat gol kelima Sepanyol pada minit ke-73.

Argentina: - 

PEMAIN PALING MENGECEWAKAN

Sepanyol: -

Argentina: Fabricio Bustos

Bek kanan Argentina ini muncul sebagai pemain paling mengecewakan di atas padang. Dia bukan sahaja gagal memberi sebarang sokongan setiap kali pasukannya cuba melancarkan serangan, malah Bustos juga bertanggungjawab untuk dua gol pertama yang dijaringkan oleh Sepanyol. Kami tidak akan terkejut jika Jorge Sampaoli membuat keputusan untuk tidak membawa Bustos ke Piala Dunia 2018, berdasarkan persembahan malam ini.

ANALISIS STRATEGI KETUA JURULATIH

Sepanyol: Julen Lopetegui

Walaupun Isco mencuri tumpuan jutaan orang di seluruh dunia awal pagi tadi, pujian harus diberikan kepada Julen Lopetegui atas keputusannya untuk menggunakan Isco di bahagian tengah dan Marco Asensio di bahagian sayap. Kedua-dua pemain ini menunjukkan kesefahaman yang cukup bagus, dan mereka sering bertukar posisi untuk mengelirukan pertahanan Argentina. Strategi ini, termasuk kekuatan fizikal Diego Costa di bahagian hadapan, mengucar-kacirkan skuad La Albiceleste di Stadium Wanda Metropolitano.

Argentina: Jorge Sampaoli

Hakikatnya adalah skuad Argentina yang diturunkan malam ini tidak cukup bagus. Lionel Messi tidak bermain, manakala Angel Di Maria dan juga Sergio Aguero turut tidak tersenarai. Walaupun Gonzalo Higuain membuat beberapa percubaan, Argentina gagal menunjukkan sebarang 'chemistry' di bahagian serangan - malah beberapa percubaan terbaik mereka datang daripada tonggak pertahanan, iaitu Nicholas Otamendi. Sampaoli perlu merombak skuad ini dengan segera, dan dia juga perlu mencari jalan untuk menerapkan Paulo Dybala ke dalam perancangan taktikalnya untuk Piala Dunia 2018.

PENGADIL PERLAWANAN

Anthony Taylor (England)

Pengadil yang berpengalaman ini tidak mempunyai sebarang isu besar awal pagi tadi. Secara umum, segala tindakannya di atas padang agak adil.