Selepas Persatuan Bolasepak Nepal mengumumkan bahawa mereka tidak dapat menghantar pasukan untuk perlawanan persahabatan menentang Malaysia, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah bertindak pantas untuk mencari pasukan lawan yang lain.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengesahkan bahawa pasukan kebangsaan Bhutan akan menggantikan tempat Nepal dalam satu siaran di laman Facebook rasmi mereka.
Skuad kebangsaan Bhutan berada di ranking ke 188, satu anak tangga lebih tinggi berbanding skuad kebangsaan Mongolia yang berada di tangga ke 189.
Bhutan suatu ketika dahulu pernah menghuni tangga terbawah ranking FIFA dan pernah menjadi topik satu filem dokumentari ‘The Other Final’ yang menceritakan mengenai perlawanan diantara dua pasukan tercorot dalam ranking FIFA ketika itu, Bhutan dan Montserrat menjelang perlawanan akhir Piala Dunia 2002.
Kekalahan paling teruk pasukan yang dikenali sebagai ‘The Dragon Boys’ ini adalah ketika tewas 20-0 kepada Kuwait pada tahun 2000. Sebelum berkunjung ke Malaysia, Bhutan akan berdepan Maldives dalam perlawanan kelayakan Piala Asia peringkat kumpulan mereka. Bhutan berada dalam kumpulan yang sama bersama Maldives, Palestin dan Oman. Setakat ini mereka telah tewas semua perlawanan, bolos 32 gol dan cuma menjaringkan dua gol.
Pemain Bhutan yang perlu diberi perhatian oleh skuad Malaysia nanti adalah Chencho Gyeltshen yang juga dikenali sebagai ‘Ronaldo Bhutan’ kerana gaya permainannya. Chencho bermain untuk Minerva Punjab FC di Liga India. Chencho juga pernah beraksi bersama Surin City, Nonthaburi dan Satun United di Thailand. Bersama skuad kebangsaan Bhutan, pemain berusia 21 tahun ini telah menjaringkan 10 gol.